Imam dah boleh sebut rapatkan saf — Ismail Sabri


  • Primer
  • Selasa, 08 Mac 2022

ISMAIL Sabri berkata, isu merapatkan saf ketika solat berjemaah adalah satu isu besar yang sering diperkatakan oleh rakyat, yang mahu ibadah dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal. — Bernama

AKTIVITI solat berjemaah di masjid dan surau serta upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam, boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal bermula Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ mulai 1 April ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa mengumumkan perkara itu pada Selasa bagaimanapun menjelaskan, pelaksanaan dan prosedur operasi standard (SOP) akhir untuk masjid atau surau tertakluk kepada ketetapan Pihak Berkuasa Agama Negeri masing-masing.

Beliau berkata, isu merapatkan saf ketika solat berjemaah adalah satu isu besar yang sering diperkatakan oleh rakyat yang mahu ibadah dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal.

"Jadi imam lepas ini boleh katakan rapatkan saf kerana kita (kerajaan) tidak lagi menetapkan penjarakan fizikal satu meter.

"Bagaimanapun, oleh kerana Perlembangaan Persekutuan menyatakan perkara berkaitan agama Islam terletak di bawah kuasa Sultan di negeri-negeri, maka walaupun saya sebut tiada lagi penjarakan fizikal (ketika solat), itu adalah cadangan daripada Kerajaan Persekutuan, tetapi penentuan akhir terletak pada kerajaan negeri masing-masing,” katanya pada sidang media khas di Bangunan Parlimen pada Selasa.

Perdana Menteri berkata, bagi upacara sembahyang untuk rumah ibadah selain Islam pula tertakluk kepada Kementerian Perpaduan Negara dan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor).

Sepanjang penularan Covid-19 di negara ini, kerajaan Persekutuan dan negeri menetapkan solat jemaah di masjid dan surau dilaksanakan dengan penjarakan fizikal satu meter serta pemakaian pelitup muka.

Sebelum ini, Perlis mengumumkan semua masjid di seluruh negeri itu boleh melaksanakan solat berjemaah dengan merapatkan saf berkuat kuasa pada 8 Januari, manakala Johor menetapkan penjarakan fizikal antara jemaah bagi solat fardu dan Jumaat dikurangkan daripada satu meter kepada setengah meter. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram