Isu pembangunan semula Kampung Bharu bakal selesai — Shahidan


  • Primer
  • Isnin, 07 Mac 2022

PIPKB 2040 merupakan kerangka hala tuju baharu pembangunan perkampungan di tengah-tengah ibu kota tersebut bagi tempoh 20 tahun akan datang. — IZZRAFIQ ALIAS/ The Star

ISU pembangunan semula Kampung Baru yang berlarutan sejak berpuluh tahun dijangka menemui noktah apabila Pelan Induk Pembangunan Kampong Bharu 2040 (PIPKB 2040) yang dilancarkan pada 25 November tahun lalu, direalisasikan.

Pelan itu merupakan kerangka hala tuju baharu pembangunan perkampungan di tengah-tengah ibu kota tersebut bagi tempoh 20 tahun akan datang setelah perancangan yang dibuat sebelum ini dilihat berdepan pelbagai halangan termasuk kurang sokongan penduduk.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim ketika berucap melancarkan pelan itu berkata, PIPKB 2040 lebih realistik dan boleh dilaksanakan menerusi pendekatan pembangunan berfasa yang lebih berfokus, sekali gus mewujudkan pembangunan fizikal dengan persekitaran yang dapat menjamin kesejahteraan hidup berkualiti.

Inisiatif dan pendekatan itu bakal menghasilkan pulangan ekonomi yang optimum dengan kepentingan penduduk terjamin melalui usaha bersama antara pemilik tanah, pemaju, pelabur, kerajaan dan pihak berkepentingan yang lain.

Kronologi usaha membangunkan Kampung Baru bermula pada 1984 melalui beberapa siri perbincangan dan akhirnya membawa kepada penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) pada 2012.

Seterusnya Pelan Induk Terperinci Pembangunan Kampung Baru dimuktamadkan dan diluluskan oleh Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu sebelum dilancarkan pada 15 Julai 2015 dengan fokus pembangunan meliputi 70 peratus perumahan dan 30 peratus pembangunan komersial, membabitkan tanah seluas 302 ekar (seekar bersamaan 0.4 hektar).

Namun pelan itu gagal menerima sambutan penduduk yang meragui pendekatan berkenaan kerana dikatakan akan menyebabkan mereka dipindahkan dari kawasan masing-masing, selain jumlah pampasan yang diberikan juga tidak berbaloi dengan nilai tanah yang diambil.

A view of Kuala Lumpur city with Kampung Baru in the foreground. The land ownership problem at the traditional village has yet to be resolved. — Filepic

PEMANDANGAN dari udara Kampung Baru Kuala Lumpur.

Kampung Baru jadi Perdagangan Pusat Bandar Raya

Mengulas mengenai PIPKB 2040, Pengerusi PKB, Datuk Affendi Zahari berkata, pelan itu lebih realistik kerana mengambil kira keutamaan penduduk selain kompleksiti sesebuah kawasan dengan matlamat meningkatkan kesejahteraan penduduk, menambah baik kualiti hidup, menghasilkan kesaksamaan serta ekonomi yang berdaya saing.

"Kita menggunakan kaedah yang bersesuaian dalam berurusan dengan pemilik tanah, pemaju dan pelabur bagi menjamin pembangunan Kampung Baru sebagai kawasan perdagangan dan petempatan inklusif, berkualiti serta memenuhi persekitaran yang kondusif,” katanya kepada Bernama.

Tambahnya, langkah mengezonkan Kampung Baru sebagai pusat perdagangan dan petempatan yang inklusif akan turut menyokong Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai pusat perdagangan dan kewangan, perkhidmatan, pusat kebudayaan serta kediaman utama.

Mengulas lanjut, Affendi berkata, kedudukan Kampung Baru yang sangat strategik dikelilingi pembangunan mega dan berprofil tinggi seperti Kuala Lumpur City Centre (KLCC) serta kawasan perdagangan di Ampang dan Jalan Tun Razak, menjadikan kawasan itu berpotensi tinggi dalam penawaran premis perdagangan dan ruang kediaman yang lebih kompetitif dan moden.

Katanya, Kampung Baru akan disusun semula mengikut blok pembangunan yang dirancang dalam pelan induk itu sekali gus mengoptimumkan penggunaan tanah dan ruang.

"Ketersediaan jaringan perhubungan di Kampung Baru dan sekitarnya memudahkan aksesibiliti penduduk ke Kampung Baru. Kampung Baru boleh diakses dari Jalan Tun Razak, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Sultan Ismail.

"Pembukaan jalan susur masuk dan keluar ke AKLEH (Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur) serta sambungan DUKE 2A (Lebuhraya Duta-Ulu Kelang) di Jalan Raja Muda Abdul Aziz menjadikan Kampung Baru sebagai lokasi yang paling mudah diakses,” jelasnya.

Selain itu, pembangunan Pintasan Saloma (Saloma Link) iaitu laluan pejalan kaki bertingkat yang menghubungkan KLCC dan Kampung Baru, menjadikan tempoh perjalanan di antara Kampung Baru dan kawasan sekitar lebih singkat dan selamat.

"Saloma Link yang dibangunkan pihak PKB mempunyai rekaan ikonik dan menjadi tarikan pelancong di Kuala Lumpur sejak dibuka kepada orang awam pada 5 Feb 2020,” katanya.

Pelan Kampung Baru

LAKARAN artis pelan pembangunan Kampung Baru,

Cabaran pembangunan Kampung Baru

Sementara itu, Pengarah Perancangan Pembangunan dan Ekonomi PKB, Saifuddin Ahmad berkata, terdapat pelbagai faktor yang menghalang dan membantutkan pembangunan Kampung Baru, antaranya sekatan Kawasan Penempatan Pertanian Melayu (MAS) dan lot tanah yang kecil, masalah berkaitan persetujuan untuk pembangunan, penyelesaian pusaka serta pemilikan berganda.

Memperincikan mengenai sekatan MAS dan lot tanah kecil, jelas Saifuddin, secara keseluruhan terdapat 1,346 lot tanah dan 7,242 pemilik tanah berdaftar di Kampung Baru.

Daripada jumlah itu, sebanyak 879 lot tanah terletak dalam rizab MAS sementara baki 467 lot di luar MAS.

"Dalam surat hak milik tanah yang dikeluarkan untuk tanah rizab MAS ini, terdapat sekatan yang melarang tanah dipindah milik atau diduduki oleh orang bukan Melayu.

"Sebanyak 82.33 peratus lot tanah ini adalah bersaiz kecil dan kurang daripada satu ekar. Tanah berkeluasan satu hingga dua ekar pula adalah sebanyak 8.83 peratus, dua hingga tiga ekar sebanyak 2.49 peratus manakala tanah melebihi empat ekar adalah 3.21 peratus,” katanya.

Tambah beliau, isu tawaran pulangan keuntungan yang dikemukakan pemaju tidak menarik selain pemilik tanah tidak bersetuju dengan jumlah pampasan yang ditawarkan juga antara halangan projek tersebut.

"Isu pusaka tertangguh dan tidak diselesaikan menghalang proses pembangunan untuk dilaksanakan dalam tempoh yang singkat dan melibatkan kos. Ini berpunca daripada pemilik yang tidak mencapai kesepakatan, tidak cakna untuk menyelesaikan isu pusaka dan pemilik atau waris tidak dapat dikesan.

"Masalah juga berlaku apabila tanah itu mempunyai pemilikan berganda yang mana purata pemilik adalah lima orang bagi satu lot tanah. Wujudnya konflik antara pemilik atau pewaris terhadap hak milik tanah menyukarkan proses ini,’’ katanya.

PPKB

PKB memainkan peranan yang penting dalam membawa kemajuan di Kampung Baru.

Merealisasikan Pembangunan Kampung Baru

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, bagi merealisasikan pembangunan Kampung Baru, kerajaan dan PKB telah merangka pelan promosi bagi menarik pemaju dan pelabur dari dalam dan luar negara yang berminat untuk membangunkan kawasan tersebut.

Beliau berkata, PKB yang berperanan sebagai fasilitator, turut mengatur rundingan bagi mendapatkan persetujuan di antara pemilik tanah dan pemaju untuk melaksanakan bentuk pembangunan yang boleh menghasilkan faedah bersama.

Katanya, antara yang sedang diusahakan ialah pembangunan semula kawasan Kampung Sungai Baru yang telah mendapat persetujuan 70 peratus pihak berkaitan untuk menjalankan usaha sama.

Jelasnya pemilik tanah yang bersetuju akan mendapat pelbagai keistimewaan, antaranya pulangan tinggi mencecah RM850,000 pada masa depan berbanding harga asal iaitu sekitar RM150,000 hingga RM180,000.

Bagi kes pengambilan tanah pemilik rumah teres di Sungai Baru pula, Saifuddin berkata, isu itu masih dalam proses siasatan pengambilan tanah.

"Pembangunan di Sungai Baru ini boleh disifatkan sebagai penanda aras sebelum kita dapat membangunkan blok-blok lain yang mana pada asalnya merupakan inisiatif pemilik tanah melalui persatuan penduduk bersama pemaju sejak 2014," jelasnya.

Jelas Saifuddin, cadangan jalan susur AKLEH menghubungkan kawasan Sungai Baru merupakan alternatif ke Kampung Baru di bahagian selatan.

Beliau juga yakin cadangan itu boleh menarik minat lebih ramai pelabur dan pemaju ke Kampung Baru dengan lokasinya menghubungkan Jalan Ampang.

"Kerajaan melalui KWP (Kementerian Wilayah Persekutuan) dan PKB bersama pemilik tanah dan penduduk akan mentransformasikan Kampung Baru selaras dengan wawasan Kuala Lumpur sebagai ‘bandar raya untuk semua’ (City for All).

"Kita yakin perancangan yang dirangka akan menggalakkan pembangunan semula Kampung Baru yang lebih mampan dan bersepadu,’’ katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram