SEMPADAN negara akan dibuka semula pada 1 April ini, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri berkata, langkah itu selari dengan perancangan memasuki Fasa 'Peralihan Ke Endemik' dan pengumuman yang paling dinanti-nantikan rakyat ini akan merancakkan semula ekonomi negara secara keseluruhan, khususnya industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
"Dengan pembukaan semula sempadan negara ini, rakyat Malaysia yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah kini boleh keluar masuk negara seperti biasa serta dibenarkan untuk pergi ke mana-mana negara yang turut membuka pintu sempadannya kepada pengembara luar.
"Dalam masa yang sama, rakyat negara luar dengan dokumen perjalanan yang sah juga boleh melakukan pergerakan keluar masuk ke Malaysia tanpa perlu lagi memohon MyTravelPass yang akan dimansuhkan," katanya pada sidang media khas di Bangunan Parlimen di ibu negara pada Selasa.
Beliau berkata, mereka hanya perlu memuat turun dan dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera serta melengkapkan Pre-Departure Form melalui fungsi 'Traveller' dalam aplikasi MySejahtera.
Ismail Sabri berkata, individu yang telah menerima vaksinasi lengkap tidak perlu menjalani kuarantin dan hanya perlu melalui ujian pengesanan Covid-19 RT-PCR dua hari sebelum berlepas serta ujian RTK-Ag (profesional) dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan.
Beliau berkata, ini adalah prosedur wajib dipatuhi rakyat Malaysia dan pengembara luar yang ingin masuk ke Malaysia, mengambil kira situasi penularan Covid-19 terutama gelombang Omicron yang masih melanda negara dan kebanyakan negara di seluruh dunia.
Menurutnya, bagi status vaksinasi lain seperti tidak menerima vaksin atas sebab perubatan dan tidak menerima sebarang vaksinasi, perincian mengenai prosedur berkenaan akan diumumkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada Rabu.
Ismail Sabri berkata, senarai prosedur operasi standard (SOP) yang terperinci bagi prosedur di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) di darat dan laut juga akan dikeluarkan kementerian berkaitan dalam masa terdekat.
Mengenai keputusan pembukaan semula sempadan, beliau berkata, ia dibuat bersandarkan kepada tiga perkara asas iaitu berpandukan sains dan fakta terkini berkaitan Covid-19, membandingkan keperluan pembukaan sempadan di negara lain serta memberi keselesaan kepada pengembara dan tidak merumitkan perjalanan mereka.
Bagi negara yang masih menutup pintu sempadan, Ismail Sabri berkata, rakyat Malaysia boleh memanfaatkan kaedah Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) yang dipersetujui Kerajaan Malaysia dengan negara-negara yang terbabit.
"Buat masa ini, VTL telah dimanfaatkan dengan Singapura sejak tahun lalu. Dalam masa terdekat pula, seperti saya umumkan baru-baru ini, VTL turut bakal dimanfaatkan untuk melaksanakan pergerakan keluar masuk antara Malaysia-Thailand, Malaysia-Brunei dan Malaysia-Indonesia.
"Diharapkan rakyat yang ingin memanfaatkan pembukaan sempadan negara dapat melaksanakannya mengikut garis panduan yang ditetapkan demi keselamatan diri, orang sekeliling serta negara secara keseluruhannya," katanya.
Sejak 18 Mac 2020, Malaysia melaksanakan sekatan menyeluruh semua perjalananan rakyat negara ini ke luar negara dan kemasukan pelancong ke negara ini bagi mengekang penularan Covid-19 di negara ini.
Pada 7 Oktober 2020, kerajaan memperkenalkan MyTravelPass Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) iaitu permohonan kebenaran keluar dan masuk negara bagi warganegara dan warga asing.
Pada 11 Oktober 2021 kerajaan membenarkan perjalanan rentas negeri dan perjalanan ke luar negara tanpa menggunakan permohonan itu. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram