Tiga kejadian tanah runtuh akibat banjir kilat di ibu negara


  • Primer
  • Selasa, 08 Mac 2022

SEBANYAK tiga kejadian tanah runtuh dilaporkan susulan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di ibu negara petang Isnin. — Bernama

SEBANYAK tiga kejadian tanah runtuh dilaporkan susulan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di ibu negara petang Isnin.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan dua kawasan melibatkan rizab jalan iaitu di 1/27, Taman Gembira dan Jalan Hang Tuah 4, Salak Selatan manakala di Seksyen 6, Wangsa Maju merupakan tanah persendirian.

"DBKL telah meninjau ke kawasan terlibat dan kerja-kerja susulan akan dilakukan dengan segera," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan hujan lebat dengan kadar taburan hujan melebihi 100 milimeter per jam kira-kira pukul 3 petang pada Isnin menyebabkan banjir kilat di 29 kawasan di ibu negara antaranya Jalan Yaakob Latif, Jalan Ampang, Underpass Jalan Pudu, Jalan Maharajalela, Jalan Cheras dan Jalan Melaka.

Daripada 29 kawasan itu, DBKL memaklumkan 25 kawasan surut dalam masa 30 hingga 45 minit manakala empat lagi iaitu Underpass Bulatan Pudu, Terowong Jalan Tun Razak, Kampung Pasir dan Kampung Periuk, surut dalam tempoh satu hingga tiga jam.

"Bantuan awal bagi melancarkan trafik dan kerja pembersihan telah dilaksanakan termasuk menggerakkan trak tunda bagi mengalihkan kenderaan terkandas," menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, DBKL mengenal pasti 12 lokasi pokok tumbang dan dahan sekah menerusi siasatan di tapak serta aduan awam antaranya di Jalan Pudu Lama, Jalan Teluk Pulai, Jalan Kuchai 2 dan Jalan Desa Utama.

Sementara itu, dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Saraswati melibatkan mangsa banjir di Kampung Pasir seramai 560 orang (145 keluarga) dan Dewan Sultan Sulaiman membabitkan 381 orang (84 keluarga) dari Kampung Periuk.

Dalam perkembangan sama, menerusi ciapan di Twitter rasmi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, beliau memaklumkan seramai 1,122 mangsa daripada 263 keluarga ditempatkan di sembilan PPS di seluruh negeri itu.

Menurutnya, agensi pengurusan bencana terus memantau keadaan dan akan membantu proses pemindahan mangsa.

"Talian Bilik Gerakan Bencana Majlis Bandaraya Subang Jaya telah dibuka dan beroperasi 24 jam, sebarang aduan serta kecemasan di kawasan itu boleh menghubungi 03-80247700," katanya.

Di Perak, banjir di daerah Muallim pulih sepenuhnya apabila air kembali surut dan PPS Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khair Johari ditutup pagi Selasa.

Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perak dalam kenyataan melaporkan 168 mangsa daripada 26 keluarga yang dipindahkan ke PPS itu pada Isnin telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing di Kampung Berop, Behrang.

Sementara itu, di Hilir Perak, 18 orang daripada empat keluarga masih ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak berikutan kediaman mereka di Batu 7 1/2 Jalan Changkat Jong dinaiki air tengah hari pada Isnin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan, Mohd Ismail Mohd Yunus berkata, cuaca cerah dan paras banjir surut kepada 0.3 meter pagi Selasa berbanding 0.6 meter (Isnin). — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

DBKL, banjir, tanah runtuh, PPS, ibu negara, selangor, perak,