TULAR di media sosial satu rakaman video menunjukkan sebuah ambulans yang sedang membunyikan siren dipercayai membawa pesakit dihalang daripada meneruskan perjalanan.
Ia dipercayai bagi memberi laluan kepada konvoi orang kenamaan (VVIP) yang datang dari flyover sebelah kiri.
Rakaman itu dikatakan berlaku di jejambat Jalan Skudai Kiri, Johor Bahru, Johor kira-kira pukul 2.15 petang pada Sabtu.
Berdasarkan penelitian Majoriti, didapati nombor plat kenderaan yang dapat dilihat menerusi rakaman dashcam itu juga adalah bermula dengan huruf J sekali gus menguatkan dakwaan bahawa ia berlaku di Johor.
Video tersebut dipercayai mula tular di aplikasi TikTok sebelum dikongsi semula netizen di laman Facebook.
RAKAMAN video tular menunjukkan sebuah ambulans dihalang oleh polis trafik dipercayai bagi memberi laluan kepada konvoi VIP. — TikTok
Rata-rata netizen kesal dengan tindakan tersebut kerana menganggap golongan VVIP ini tidak belajar daripada kesilapan.
Ini rentetan daripada kejadian tular sebelum ini membabitkan sebuah ambulans dan jip pasukan kesihatan dalam kejadian pascabanjir di Nanding, Hulu Langat, Selangor, Disember tahun lepas.
"VVIP dulu, ambulans later!! Again and again!!!," tulis seorang pengguna media sosial menggunkan nama @starex_kavin.
Sebelum ini, Majoriti pernah melaporkan, dalam keadaan ambulans menyalakan lampu kecemasan dan membunyikan siren, keutamaan sepatutnya diberikan kepada kenderaan terbabit kerana jelas pasukan perubatan kecemasan yang berada di dalamnya sedang berdepan situasi kritikal.
Pemilik syarikat Elite Emergency Management Services (Elite Ambulans), Azizah Mat Ishak dilaporkan berkata, siren ambulans dibunyikan sebagai pemberitahuan kepada pengguna jalan raya lain untuk membuka laluan agar kenderaan itu dapat bergerak lancar tanpa halangan trafik.
"Kalau tiada kes kecemasan, ambulans kena ikut peraturan jalan raya seperti mematuhi lampu isyarat merah.
"Bagaimanapun jika dalam keadaan kritikal di mana siren ambulans berbunyi, konvoi VVIP itu sewajarnya memberikan laluan kepada ambulans," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram