Format 'recycle' bakal kembali meriahkan Liga M


  • Podium
  • Isnin, 07 Mac 2022

PERUBAHAN bilangan pasukan dikatakan akan menambahkan lagi ‘seri’ perlawanan dalam Liga Super. — Facebook

TERDAPAT cakap-cakap berhubung perubahan dalam aksi liga bola sepak tempatan Malaysia akan berlaku mulai tahun 2023.

Perubahan itu akan menyaksikan saingan Liga Super Malaysia bakal memiliki 18 buah pasukan bertanding dalam satu musim mulai tahun 2023.

Perubahan bilangan pasukan ini dikatakan akan menambahkan lagi ‘seri’ perlawanan dalam Liga Super selain pasukan yang bertanding akan menerima lebih banyak perlawanan liga dalam satu musim.

Selain itu, aksi Liga Premier juga ‘dihilangkan’ buat sementara waktu mulai tahun 2023.

Pada masa sama, dua lagi liga akan diadakan mulai tahun 2023 adalah Liga Simpanan dan juga Liga B17 di mana saingan kedua-dua liga ini akan memiliki 18 pasukan bertanding.

Penyokong bola sepak tempatan rata-rata dilihat teruja dengan perkhabaran itu dan menyifatkannya antara lain akan memberi peluang untuk pemain mendapat lebih banyak minit permainan.

Seorang pengguna Facebook, Zaid Abu Bakar berkata, format sedemikian pernah dibuat ketika zaman Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menerajui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Liga Perdana 1994 hingga 1997.

"Kalau macam tu feeder team wujud lagi tak? Aku setuju juga macam ni 18 pasukan dalam satu liga sekurang-kurangnya mereka boleh main 34 game semusim dan terus kekal 16 pasukan untuk Piala Malaysia.

"Dulu pernah 15 hingga 16 team masa zaman Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah pegang FAM Liga Perdana 1994 hingga 1997 sebelum dipecahkan jadi dua semula.

"Biarlah pemain boleh rasa banyak match baru best sekurang-kurangnya untuk minit permainan. Macam import ni biarlah mereka yang tentukan kuota untuk 2023, aku tak nak komen yang tu," tulisnya pada Isnin.

Seorang lagi pengguna Facebook, Izan Hamizan berkata, format tersebut hanya akan 'menghidupkan' kelab yang guna nama negeri memandangkan kelab-kelab tersebut memiliki fan-base masing-masing.

"Ini ulang balik format liga 1994-1997. Yang akan hidup cuma kelab yang guna nama negeri sajalah. Kelab based on bandar, daerah atau guna nama korporat sunyi sepi.

"Kelab korporat tu tetap akan ada. Tengok Liga M3 musim ni, nama kelab yang masuk Entah apa-apa. Macam mana la nak ada fan-base," katanya.

netz liga c

TANGKAP layar komen netizen terhadap isu perubahan liga bola sepak tempatan. — Facebook

Sementara itu, seorang pengguna Facebook, Raja Izzi berkata, format itu nampak bagus jika mahu diperkenalkan, namun aspek kewangan perlu diambil berat.

"Nampak bagus, tapi bab kewangan sangat merisaukan...pasukan yang boleh maintain untuk ketiga-tiga liga nampak beberapa kerat sahaja. Harap yang lain perkukuhkan kewangan pasukan," ujarnya.

Pandangan sama turut dilontarkan Ateeqaz Adriana yang melihat faktor kewangan perlu diambil kira khususnya bagi kelab-kelab kecil yang kekurangan dana.

"Kekurangannya kos akan bertambah untuk sesebuah pasukan terutama apabila nak away day, kos perjalanan dan sebagainya. Kelab-kelab kecil yang tiada dana akan terkesan.

"Tetapi kelebihannya lebih meriah, kompetetif, lebih banyak minit permainan, lebih peluang bermain untuk pemain simpanan dan muda (player rotation)," katanya.

Begitupun, di sebalik pandangan yang dilontarkan netizen terhadap isu perubahan liga bola sepak tempatan, masih belum ada sebarang pengumuman rasmi dari pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan ia dijangka diterbitkan dalam masa terdekat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram