KKM semak, kemas kini elaun khas petugas barisan hadapan


  • Primer
  • Rabu, 02 Mac 2022

SEBANYAK 3,586 kekosongan jawatan pegawai perubatan diiklankan di SPA sejak Selasa. —KAMARUL ARIFFIN/The Star

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan menyemak dan mengemas kini dari semasa ke semasa, untuk memperluaskan pemberian elaun khas kepada petugas barisan hadapan kesihatan yang mengurus wabak Covid-19 di negara ini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, selain doktor, jururawat dan pemandu ambulans yang ketika ini termasuk dalam kalangan petugas yang layak menerima elaun khas tersebut, namun masih terdapat kumpulan lain kesihatan yang terlibat dalam pengurusan wabak itu.

"Kumpulan yang layak menerima elaun khas ini akan kita semak akan kemas kini dari semasa ke semasa, contohnya ahli fisioterapi yang terlibat dalam rawatan pesakit ‘long Covid’ yang kita fikir menepati kriteria untuk mendapat elaun khas tersebut,” katanya ketika sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat di ibu negara pada Rabu.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Hasan Bahrom (PH-Tampin), yang mahu Khairy menyatakan berkenaan pembayaran bonus kepada pekerja barisan hadapan dalam kalangan kakitangan kesihatan.

Khairy berkata, sehingga 31 Disember tahun lalu sebanyak RM1.1 bilion elaun khas telah dibayar kepada petugas barisan hadapan kesihatan.

Pada Mac 2020, kerajaan mengumumkan peningkatan elaun khas daripada RM400 kepada RM600 bagi petugas kesihatan seperti doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terlibat secara langsung dalam pengurusan serta usaha mengekang penularan Covid-19 di negara ini.

Berkenaan aduan petugas barisan hadapan yang tidak menerima elaun khas tersebut kerana tidak mengambil vaksin, Khairy berkata, antara syarat untuk layak menerimanya adalah petugas mesti mendapatkan vaksin Covid-19 di samping syarat-syarat lain termasuk jumlah hari bekerja.

"Tetapi jika petugas tidak boleh menerima vaksin akibat isu kesihatan, mereka tetap layak dibayar elaun khas tersebut," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan mengenai jumlah doktor kontrak yang akan diserap ke jawatan tetap tahun ini, Khairy berkata, kekosongan jawatan pegawai perubatan ialah 3,586.

Katanya, iklan jawatan kosong tersebut telah diiklankan di laman sesawang Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sejak Selasa. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram