Tolong berhenti segera sebelum anda diberhentikan — Zamsaham


  • Podium
  • Isnin, 07 Mac 2022

PEMAIN Kelantan FC yang didapati merokok berdepan risiko dibuang daripada pasukan. — Kelantan FC

BERMULA tahun depan, Kelantan FC akan melakukan saringan bagi mengenal pasti pemain yang merokok dalam skuad.

Perkara itu disahkan pemilik The Red Warriors, Norizam Bin Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham dalam satu hantaran Facebook pada Ahad.

Menurutnya, pemain yang didapati merokok berdepan risiko dibuang daripada pasukan dan meminta mereka yang mempunyai tabiat itu supaya berhenti segera.

"Disiplin tinggi jawapan kejayaan sebuah pasukan. Kalau ada yg merokok, tolong berhenti segera sebelum anda diberhentikan.

"Selain skil dan strategi, pemain perlu pastikan jangan merokok. Tahun depan akan minta saringan rokok dibuat sebelum terpilih bermain dengan TRW," katanya.

Di ruangan komen, rata-rata penyokong bersetuju dengan cadangan tersebut dan mahu ia dilaksanakan segera oleh kelab itu.

Kelantan FC bermula langkah kanan dalam kempen Liga Perdana apabila menewaskan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) 2-1 di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin pada Sabtu.

Pada aksi di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin itu, skuad TRW itu membuka jaringan seawal minit ketujuh hasil jaringan Natanael Siringo Ringo.

Pemain JDT, Daryl Sham kemudian menjaringkan gol penyamaan buat JDT II pada minit ke-74 sebelum pemain gantian Kelantan FC, Jasmir Mehat, muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-90.

Perlawanan seterusnya bakal menyaksikan kelab Pantai Timur itu berdepan berdepan skuad dari saingan Liga Super, PJ City FC bagi saingan pusingan pertama Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 13 Mac. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

zamsaham, kelantan fc, trw, merokok, pemain