PENGENDALI pawagam TGV Cinemas mengeluarkan kenyataan pada Ahad (6 Mac) memohon maaf selepas beberapa penonton mengadu tentang suatu insiden semasa tayangan filem The Batman pada hari Sabtu.
Menurut laporan, filem berdurasi tiga jam itu telahpun ditayangkan selama 45 minit di TGV Vivacity Megamall di Kuching, Sarawak, namun dimainkan semula berikutan ada 'beberapa orang kenamaan (VIP) tiba lewat'.
Kenyataan yang disiarkan di media sosial rasmi TGV itu mengatakan bahawa ia akan mengeluarkan dua tiket percuma dan bayaran balik penuh kepada penonton yang terjejas ketika tayangan itu.
Walaupun TGV sedang meneliti perkara itu, mereka tidak menyebut secara rasmi sebab mengapa filem itu dimainkan semula.
Sementara itu, netizen meninggalkan komen di Facebook TGV sejak permohonan maaf itu disiarkan.
Mereka yang berbuat demikian, kebanyakannya ingin tahu tentang identiti VIP tersebut yang dianggap 'muka tebal' untuk meminta filem tersebut dimainkan semula dari awal.
"Saya percaya kebanyakan orang di sini akan memilih untuk menyerahkan bayaran balik tiket untuk melihat siapa yang menjadi punca kes ini," komen seorang pengguna Facebook.
Komen lain yang ditinggalkan berbunyi, "Hidup VIP penting? Kehidupan orang awam pula tidak penting? " dan "Nak tonton wayang pun masih ada layanan double standards?"
Seorang lagi secara sinis bertanya, "Jika saya datang lewat lain kali, adakah anda akan memulakan semula penayangan filem?"
Salah seorang daripada mereka pula membuat kesimpulan, "Permintaan maaf tidak diterima kerana ia bukan kesilapan teknikal." — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram