Siapa patut jalan dulu, ambulans atau konvoi VIP? Ini penjelasan pihak ambulans


  • Massa
  • Isnin, 27 Dis 2021

TANGKAP layar video memaparkan sebuah ambulans ditahan bagi memberi laluan kepada kenderaan VIP bergerak dahulu pada Ahad. — Twitter

PADA Ahad, tular satu video menunjukkan sebuah ambulans dan jip pasukan kesihatan dihentikan oleh anggota polis trafik di simpang tiga bagi memberi laluan kepada konvoi kenderaan orang kenamaan (VIP) dalam kejadian dipercayai di Nanding, Hulu Langat, Selangor.

Persoalan timbul berhubung kenderaan mana yang sepatutnya harus diberikan keutamaan untuk bergerak terlebih dahulu.

Dalam keadaan ambulans menyalakan lampu kecemasan dan membunyikan siren, keutamaan sepatutnya diberikan kepada kenderaan terbabit kerana jelas pasukan perubatan kecemasan yang berada di dalamnya sedang berdepan situasi kritikal.

Pemilik syarikat Elite Emergency Management Services (Elite Ambulans), Azizah Mat Ishak berkata, siren ambulans dibunyikan sebagai pemberitahuan kepada pengguna jalan raya lain untuk membuka laluan agar kenderaan itu dapat bergerak lancar tanpa halangan trafik.

"Kalau rujuk video tular itu kena tengok balik sama ada siren ambulans tersebut berbunyi atau tidak. Mungkin siren daripada kenderaan polis yang mengiringi konvoi dan bukan daripada ambulans terbabit.

"Lagipun kalau diteliti, ada sebuah kenderaan lain di hadapannya iaitu jip pasukan kesihatan berwarna putih yang mana kenderaan itu turut berhenti dan tidak memberikan laluan kepada ambulans berkenaan untuk bergerak ke hadapan.

"Situasi ini mungkin menunjukkan tiada keperluan untuk ambulans berkenaan bergerak dahulu tetapi kalau situasinya berbeza di mana siren ambulans berbunyi dan kenderaan tersebut ditahan anggota trafik, ia pasti menjadi situasi menyulitkan," katanya kepada Majoriti.

Azizah berkata, ambulans tersebut mungkin hanya menyalakan lampu kecemasan kerana sedang dalam perjalanan balik dari hospital ke pangkalan (base) kerana ditempatkan di lokasi bencana.

"Kalau tiada kes kecemasan, ambulans kena ikut peraturan jalan raya seperti mematuhi lampu isyarat merah. Tetapi jika dalam keadaan kritikal, konvoi VIP itu sewajarnya memberikan laluan kepada ambulans," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya situasi pertembungan antara kenderaan polis, bomba, konvoi VIP dan ambulans, Azizah berkata, keutamaan masih berpihak kepada ambulans jika sirennya dibunyikan.

"Melainkan jika dalam situasi berdepan kebakaran, jentera bomba dan penyelamat diberi prioriti bergerak dahulu diikuti oleh ambulans. Ini adalah situasi untuk menyelamatkan nyawa antara hidup atau mati," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram