PENDUDUK di Kampung Igan di Bahagian Mukah, Sarawak boleh menarik nafas lega apabila dua buaya yang kerap muncul di tebing Sungai Igan dekat kampung itu ditangkap pada Sabtu.
Perkara itu seperti dikongsikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Dr Juanda Jaya di laman Facebook.
Beliau berkata, tangkapan buaya yang masing-masing sepanjang 3.9 meter dan 4.5 meter itu dilakukan demi keselamatan penduduk tempatan.
Media tempatan melaporkan, tangkapan itu dilakukan oleh Sarawak Forestry Corporation (SFC) di tapak projek pembinaan Jambatan Batang Igan pada pukul 11.30 pagi Sabtu.
Beliau berkata, meskipun dua reptilia ganas itu sudah berjaya ditangkap, penduduk yang kebanyakannya nelayan perlu terus berhati-hati kerana dikhuatiri masih banyak lagi buaya lain di sungai berkenaan.
SALAH satu buaya yang berjaya ditangkap pada Sabtu. — Facebook
"Walaupun dua buaya besar sudah berjaya ditangkap hari ini, penduduk janganlah mengabaikan faktor keselamatan terutama ketika menjalankan aktiviti di sungai," katanya seperti dilapor media tempatan.
Kehadiran buaya di muara Sungai Batang Igan itu membimbangkan penduduk, apabila reptilia itu seolah-olah tidak takutkan manusia apabila mencari makanan sehingga di jeti nelayan.
Terdahulu, video memaparkan seekor buaya besar memakan bangkai anjing di tebing sungai di kampung berkenaan tular di media sosial. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram