SEORANG lelaki ibarat jerat tidak lupakan pelanduk apabila berjaya mengelakkan diri daripada diperdaya kali kedua oleh pekerja di sebuah stesen minyak, baru-baru ini.
Difahamkan, kejadian itu berlaku di stesen minyak di kawasan rehat dan rawat (R&R) dekat arah selatan, Gunung Semanggol, Perak.
Menerusi luahan di laman Facebook, Zulls Yaacob berkata, kali pertama dia diperdaya oleh pekerja itu adalah ketika dia berhenti di stesen minyak tersebut dalam perjalanan ke Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam kejadian, dia meminta pekerja tersebut untuk menambah nilai kad Touch and Go (TnG) sebanyak RM100, menerusi kaunter cermin dari luar tanpa masuk ke dalam premis.
Katanya, dia tersilap langkah apabila dia tidak meminta resit selepas menambah nilai, manakala selepas pekerja tersebut memulangkan kad TnG miliknya, dia terus berlalu pergi bagi meneruskan perjalanan.
"Sampai kat Tol Jalan Duta sewaktu nak exit, card aku triggered alarm, baki tidak mencukupi.
"Hah, sudah. Takkan baru top up (tambah nilai) RM100 dah tak cukup, masuk dari Tol Bandar Baharu, exit Jalan Duta tol dalam RM30 saja.
"Patutnya tak dak masalah lah, disebabkan queue (beratur) panjang dan rasa panik dan malu, aku cepat-cepat cross (melintas) le kaunter tengah yang satu-satunya ada untuk top up.
"Aku pi top up dulu bagi membolehkan exit, selepas exit aku berhenti sebelah dok pikiaq tang mana yang tak kena ni, cuba recall (ingat semula) apa yang berlaku semasa aku top up kat stesen RnR tu sebelum ni.
Kesimpulan yang dapat dibuat oleh Zulls adalah dia sememangnya telah diperdaya oleh pekerja stesen minyak tersebut dan mengakui terlalu sakit hati apabila dipermainkan.
"Nak pi hentam (marah) pun dari beratus kilometer dah lajak, menyumpah jugalah kat diri sendiri sebab ambil mudah dengan tidak meminta resit semasa top up tu," katanya kesal.
KANTOI, PERMAINAN PEKERJA STESEN MINYAK TERBONGKAR
Pada Selasa, Zulls sekali lagi menuju ke stesen minyak tersebut untuk mengisi minyak dan menambah nilai kad TnG, namun kali ini dia terus masuk ke dalam premis dan berurusan dengan pekerja di kaunter tersebut.
Semasa berurusan, dia mendapati tiada pelanggan lain di kaunter tersebut.
Pada mulanya, dia menambah nilai dan membayar kad TnG sebanyak RM100 sebelum pekerja tersebut menyerahkan semula kad tersebut bersama resit.
Dakwanya, dia tidak menyemak resit tersebut dan terus memasukkannya ke dalam poket, sebelum memberi bayaran untuk mengisi minyak petrol sebanyak RM100.
"Nampak dia ambil duit dan key in di post system, aku bergegas ke pump. Nak dijadikan cerita, RM71 sahaja dah full tank, aku kembali ke kaunter (window counter) yang kat luar tu dan staf tu terus pulangkan RM9.
"Aku tanya dia kenapa RM9 dan bukannya RM29. Dia kata encik bagi tadi RM80 saja. Aku bertegas yang aku bagi RM100 dan aku dengar yang dia sebut RM100 untuk minyak. Ish, budak ni," katanya.
Zulls berkata, dia mula berasa tidak sedap hati apabila pekerja tersebut mahu memberinya baki sebanyak RM20 dan menukar semula jumlah di dalam sistem.
"Apa kejadahnya tank (tangki) aku dah pun full (penuh) nada yang keras aku cakap hang (kau) jangan nak scam (perdaya) aku. Darah pahlawan aku dah sukar dikawal, adrenaline rush setinggi market FCPO, terang-terang tadi kau kata RM100 kan?
"Pasai apa (kenapa) hang (kau) pi set RM80 kalau hang tak dak attention (perhatian) nak scam aku," katanya bengang.
Pada masa sama, pekerja tersebut terus mengambil RM20 dan pulangkan kepadanya, manakala Zulls bertegas mahu berjumpa dengan bos premis itu dan mahu melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Pelanggan lain makin ramai di belakangnya dan pada ketika itu juga dia melepaskan amarahnya dengan kuat dan tegas.
"Ini bukan soal RM20 tapi ini soal integriti. Dari awal kalau hang nak set RM80 sudah tentu hang akan return (kembalikan) kat aku RM20 tu. Nasib hang tak baik sebab tank aku dah full sebelum dapat amaun tersebut.
"Kalau ditakdirkanlah kata memang cukup dengan amaun tu confirm (sudah tentu) aku sendiri pun tak perasan aih, dan aku rasa kebanyakkan dari kita pun tak kelebek (perasan) tengok kat meter pump aih masa boh (tuang) minyak.
"Main tekan nozzle (alat pam minyak) sampai habis saja kan. Mamat tu nampak gelabah dan panik. Minta maaf berkali-kali pada aku. Cadangnya aku memang nak jumpa bos dia, tapi disebabkan aku pun agak rushing untuk sampai ke KL so aku belah sajalah selepas ambil baki," katanya.
PESANAN KEPADA ORANG RAMAI SUPAYA TIDAK TERKENA PERKARA SAMA
Zulls berkata, dia yakin bahawa bukan dia seorang sahaja yang telah dan cuba diperdaya, tetapi kejayaan mereka untuk memperdaya orang ramai amat tinggi.
Hal ini kerana, katanya, kebanyakan orang ramai tidak meminta resit dan sekiranya diberi, resit tersebut mungkin tidak dibelek untuk memeriksa semula transaksi.
Justeru, dia meminta orang ramai supaya mengambil langkah berhati-hati dengan kelakuan pekerja-pekerja di kaunter di stesen minyak tersebut.
Selain itu, dia juga mengakui bahawa dia tidak menyalahkan pemilik stesen minyak itu atas perkara berkenaan.
"Bukan niat aku nak menjatuhkan biz (bisnes) dia, aku pun org meniaga juga tapi aku harap owner ni boleh ambil maklum tentang kewujudan aktiviti yang tak sihat di kalangan pekerja dia ni.
"Kalau ditakdirkan dia membaca tulisan aku ni dan perlu perjelasan lanjut dari aku bolehlah hubungi aku dan jika staf-staf yang aku maksudkan di atas ada terbaca perkara ni,satu saja pesanan aku.
"Tolong cari keberkatan dalam rezeki kita, dan kalau rasa apa yang aku tulis ni adalah fitnah kepada hangpa, maka ambillah tindakan terhadap aku," tegasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram