'Pulangkan wang peruntukan calon SPM,' Lelaki dirakam sambar duit tertinggal di mesin ATM


  • Tular
  • Khamis, 03 Mac 2022

TANGKAP layar rakaman CCTV lelaki warga emas (bersongkok) yang berlalu pergi dari sebuah premis selepas terlupa mengambil wang dari ATM.

SETIAP individu tidak lari daripada kesilapan tidak disengajakan, yang adakalanya memberi impak kepada orang ramai.

Perkara itu terjadi kepada seorang lelaki warga emas yang terlupa untuk mengambil wang yang dikeluarkan dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM), di sebuah premis dekat Taman Puchong Perdana, Puchong, Selangor.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada pagi Rabu itu, warga emas tersebut mengeluarkan wang dari mesin berkenaan, sebelum didatangi seorang lelaki berbaju biru yang menunggu giliran di belakangnya untuk membuat perkara sama.

Warga emas yang terlupa untuk mengambil wang itu terus memasukkan kad ke dalam beg dompetnya dan berlalu pergi dari premis tersebut.

Tidak menunggu lama, suspek berbaju biru itu mengambil kesempatan untuk segera mengambil wang tersebut serta memasukkan ke dalam beg dompetnya.

Tampil bersuara mengenai perkara itu, Anita Suhaimi menggesa suspek tersebut supaya memulangkan wang berkenaan yang digunakan sebagai peruntukan untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Guru itu berkata, suspek atau orang ramai yang mengenalinya boleh menghubungi pejabat SMK Puchong Perdana di talian 03-80626505.

"Atau boleh hubungi saya, cikgu Anita di talian 012-3263641.

"Semoga ada rezeki untuk anak-anak calon SPM 2021. Amin. Terima kasih," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Majoriti kini cuba menghubungi Anita Suhaimi untuk mendapatkan maklumat lanjut dan masih belum ada sebarang kenyataan dari pihak berkuasa berhubung perkara itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram