Mufti nasihat tukar ke KWSP Simpanan Syariah, tapi pakar kata ada umat Islam yang malas


  • Massa
  • Khamis, 03 Mac 2022

KWSP mengumumkan dividen sebanyak 6.10 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 5.65 peratus untuk Simpanan Syariah bagi tahun 2021. — The Star

RAMAI teruja apabila Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan dividen sebanyak 6.10 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 5.65 peratus untuk Simpanan Syariah bagi tahun 2021.

Ia lebih tinggi berbanding 2020, yang mana dividen bagi Simpanan Konvensional sebanyak 5.20 peratus dan 4.90 peratus untuk Simpanan Syariah.

Meskipun bersyukur dengan pengumuman itu, Abdul Hamid Abdullah berkata, dia kecewa apabila jumlah orang Islam yang bertukar kepada Simpanan Syariah terlalu sedikit.

Tambahan pula, jurutera rangkaian itu berkata, ada orang bukan Islam menerusi kumpulan WhatsApp yang mempersoalkan perbezaan besar dividen antara kedua-dua simpanan itu.

"Tak sampai hati nak jawab, sebabnya ialah terlalu sedikit orang Islam yang dah bertukar ke Simpanan Syariah.

"Ada dalam 80 peratus lagi orang Islam masih menggunakan Simpanan Konvensional. Insaflah semua ya. Bertukarlah ke Simpanan Syariah, " katanya menerusi laman Facebook.

Abdul Hamid mendakwa, selain mementingkan keuntungan, segelintir umat Islam bersikap malas untuk bertukar dari Simpanan Konvensional kepada Simpanan Syariah.

"Kadang-kadang benda tu (pertukaran kepada Simpanan Shariah) boleh buat online, cuma mereka malas nak explore.

"Pelaburan Syariah ini benar (patuh syariah) sebab ada jawatankuasa yang pantau. Jadi tak perlu dipersoal. Orang dalam (urus) pelaburan ini memang berkelulusan dan layak," katanya kepada Majoriti.

Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamed berkata, tidak berdosa sekiranya seseorang mempunyai Simpanan Konvensional.

Hal ini kerana katanya, umat Islam pada ketika dahulu tidak mempunyai pilihan untuk beralih kepada Simpanan Syariah.

"Mereka mengikut sistem dahulu, dan sudah tentu ada Simpanan Konvensional dalam sistem lama itu," katanya.

Memandangkan zaman peralihan ketika ini umat Islam sudah mempunyai pilihan, beliau menasihatkan mereka supaya beralih kepada Simpanan Syariah.

"Kalau ada pilihan tak boleh senyap. Mereka perlu berpindah kepada Islamik.

"Soal lebih besar kita nak beralih kepada sistem Islamik yang lebih baik kepada umat Islam, walaupun dividen agak berkurangan sedikit," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram