Asyraf Wajdi persoal pendirian Anwar Ibrahim tak bagi usik KWSP


  • Politik
  • Jumaat, 21 Jan 2022

ASYRAF Wajdi berpendapat pengeluaran KWSP boleh dilakukan buat kali terakhir.

KENYATAAN Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan pendiriannya untuk tidak membenarkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dipersoal Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Asyraf Wajdi berkata, Seksyen 54 Akta KWSP di bawah sub-seksyen 54 (k), 54(l) dan 54(m) jelas membenarkan pengeluaran untuk penuhi keperluan serta kelangsungan hidup pencarum.

"Apakah KWSP satu-satunya cara untuk menjamin keselamatan hidup hari tua? Apakah jaminan untuk hidup hari tua jika rakyat hari ini amat terdesak untuk penuhi keperluan hidup diri dan keluarga?

"Rakyat hakikatnya rata-rata menuntut simpanan mereka sendiri hari ini bukan saja-saja, ada yang mula dihalau dari rumah kerana tak dapat bayar sewa, ditarik kereta dan motor kerana sudah tidak mampu bayar ansuran dan berhutang keliling pinggang untuk penuhi keperluan hidup.

"Ramai yang tertekan memikirkan bagaimana nak pastikan makanan di atas meja terus terhidang buat keluarga dan ramai juga hilang punca pendapatan, hilang kerja akibat pandemik.

"Apatah lagi mereka ini tidak semuanya mendapat bantuan kerajaan. Kalau dapat pun tidak mencukupi," katanya dalam hantaran di Facebook pada Jumaat.

Terdahulu, Anwar sebelum ini berpendapat, pengeluaran KWSP tidak boleh diberi laluan secara mudah kerana ia adalah jaminan masa depan pencarum.

Jelasnya, jika wang tersebut dibenarkan untuk pengeluaran hari ini, pencarum tidak mempunyai jaminan keselamatan hidup selepas lima hingga enam tahun bersara.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, tidak semua pencarum yang terjejas akibat pandemik mendapat bantuan kerajaan dan jika ada, tidak mencukupi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram