'Ikut cara CPF, jangan bagi dividen sama rata kepada pencarum KWSP'


  • Massa
  • Rabu, 26 Jan 2022

KWSP boleh mengikut kaedah pemberian dividen seperti yang digunakan CPF Singapura.

RAMAI yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dan Malaysia antara negara yang memberikan kebenaran untuk mengeluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai cara untuk membantu mereka yang terkesan.

Pengeluaran itu banyak membantu mereka yang diduga daripada segi kewangan ketika pandemik. Disebabkan itu juga, ramai yang meminta supaya kebenaran itu diteruskan buat kali ketiga.

Bukan tidak mahu membantu rakyat, tetapi kerajaan berpendirian kebenaran pengeluaran KWSP buat kali ketiga sebenarnya boleh memberi kesan jangka panjang kepada pencarum, terutamanya ketika kehidupan semasa bersara.

Ada yang setuju dengan kerajaan dan ada juga yang menentang kerana duit itu adalah milik pencarum yang mahu digunakan dalam situasi terdesak, bukannya untuk berjoli.

Namun bagi ahli perniagaan, Radzi Tajuddin, dia berpendapat ada cara sebenarnya untuk meningkatkan semula wang dalam akaun pencarum KWSP walaupun sudah beberapa kali dikeluarkan.

"Bank Negara menyarankan tabung persaraan paling kurang kena ada RM648,000 untuk bersara dengan selesa. Tapi realitinya, hampir 70% pencarum mempunyai simpanan di bawah RM50,000.

"Purata simpanan keseluruhan pulak sebanyak RM13,000 sahaja. Boleh bayang tak nak hidup lepas bersara selama 20 tahun, tapi dana persaraan cuma ada RM13,000 sahaja?

"Ini bermaksud, majoriti rakyat Malaysia akan hidup miskin lepas bersara kerana tidak mempunyai simpanan yang cukup.

"Pada masa yang sama, KWSP memberitahu yang terdapat 67,671 pencarum memiliki RM1,000,000 hingga RM10,000,000 dalam tabungan mereka.

"Malah, ada 248 orang pencarum yang ada lebih RM10 juta dalam KWSP mereka," katanya dalam akaun Twitter miliknya.

Ikut cara tabung persaraan Singapura

Menurut Radzi, ada banyak cara untuk membantu golongan M40 dan B40 untuk meningkatkan semula simpanan KWSP selepas digunakan demi kelangsungan hidup semasa pandemik Covid-19.

Antaranya adalah melibatkan pemberian dividen seperti yang dilakukan Central Provident Fund (CPF) Singapura.

"CPF Singapura contohnya tidak memberi kadar dividen yang sama rata kepada semua. Macam tahun lalu, dividen ekstra diberikan kepada SGD60,000 yang pertama sahaja.

"Ini bermaksud, kalau kau ada SGD1,000,000 dalam simpanan CPF, hanya SGD60,000 yang pertama sahaja akan dapat dividen ekstra itu.

"Perkara itu dilakukan kerana kebanyakan warga Singapura mempunyai sekurang-kurangnya SGD60,000 dalam akaun CPF mereka," katanya.

Jelas Radzi, cara yang sama boleh digunakan oleh KWSP kepada pencarum seperti simpanan RM1,000 hingga RM50,000 akan mendapat 10 peratus dividen.

Manakala simpanan RM50,001 hingga RM100,000 pula katanya akan mendapat 8 peratus dividen dan akan semakin menurun sehinggalah angka RM500,001 ke atas akan mendapat 2 peratus dividen sahaja.

"Menerusi cara ini, golongan yang simpanannya kurang berpeluang meningkatkan semula tabungan mereka dengan lebih cepat," katanya.

Beri pelepasan kepada golongan T20

Jika kerajaan melaksanakan kaedah itu, kata Radzi, berkemungkinan ada golongan T20 yang tidak setuju kerana mereka menyimpan banyak tetapi mendapat keuntungan yang sedikit.

Perkara itu katanya, boleh dikawal menerusi beberapa keistimewaan khas buat mereka.

"Sebagai contoh pelepasan cukai. Kita tengok paten perbelanjaan mereka dan beri pelepasan cukai khas.

"Tetapi cara itu berkemungkinan akan menyebabkan hasil kerajaan berkurangan dan cara terbaik yang seterusnya ialah dengan menangguhkan ganjaran.

"Ini bermaksud jika ekonomi pulih, maka cara pembahagian dividen akan diubah kembali dengan memberi lebih sedikit keuntungan kepada pesara T20," katanya.

Jelas Radzi, buat masa ini golongan B40 dan M40 yang paling terkesan dan keutamaan harus diberikan kepada mereka.

Tambahnya, sejarah sudah membuktikan jurang kekayaan akan lebih melebar selepas krisis ekonomi dan tidak ada gunanya dividen KWSP tinggi jika hanya sesetengah pihak yang mendapat manfaat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

massa, kwsp, cpf, caruman, covid-19, kerajaan