Dilema pencarum KWSP


  • Massa
  • Isnin, 31 Jan 2022

ADA yang berpendapat bahawa pengeluaran KWSP perlu diteruskan bagi menampung masalah kewangan yang dihadapi ketika ini. — The Star

ORANG ramai mempunyai pandangan yang berbeza berhubung inisiatif kerajaan membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Walaupun ada yang merasakan bahawa mereka layak menggunakan wang hasil titik peluh sendiri untuk menyara kehidupan dalam masa sukar, ada pula yang berkata, pengeluaran awal boleh meletakkan mereka dalam masalah kewangan yang teruk selepas bersara.

Oktober lalu, KWSP mendedahkan bahawa kira-kira RM101 bilion telah diagihkan kepada lebih 7.4 juta ahli di seluruh negara.

Baru-baru ini pula, didedahkan bahawa 6.1 juta pencarum KWSP mempunyai simpanan persaraan kurang daripada RM10,000, dengan 3.6 juta daripada mereka mempunyai baki kurang daripada RM1,000.

Seorang pengurus pejabat di Kuala Lumpur, M. Malar Dasan, 44, berkata, beliau menerima tawaran kerajaan dan mengeluarkan RM10,000 daripada simpanan KWSP untuk mengatasi masalah kewangan.

“Wang itu milik saya. Apa gunanya ada simpanan sedangkan ia tidak membantu saya ketika susah,” katanya sambil menambah wang itu juga digunakan untuk membeli barangan berkaitan pencegahan atau rawatan Covid-19.

“Saya membeli barangan seperti topeng muka, oksigen mudah alih (tangki), salap, oksimeter nadi dan termometer.

“Pada masa itu, adik-beradik saya juga tidak bekerja, jadi saya perlu menyara mereka juga,” kata Malar bagaimanapun percaya perlu ada had untuk pengeluaran KWSP yang seterusnya.

Penyelaras Pusat Jagaan Warga Khas Kempas, Johor Bahru, Johor, Saraswathy Letchumanan pula berkata, penularan wabak memaksanya mengeluarkan simpanan KWSP melalui i-Lestari untuk menampung perbelanjaan pusat perlindungan itu.

"Inisiatif ini membantu kerana saya boleh menggunakan wang itu untuk membantu masalah kewangan yang kami hadapi," tambahnya.

Beliau berkata, selain pengeluaran KWSP, dia juga menggadaikan barang kemasnya untuk memastikan makanan dan ubat mencukupi.

Saraswathy berkata, selain menampung pusat perlindungan tersebut, dia juga bertungkus-lumus membiayai pendidikan anaknya.

“Kerajaan harus membenarkan orang ramai mengeluarkan wang KWSP mereka sekali lagi kerana masih ramai yang bergelut dengan masalah kewangan.

"Saya faham keperluan untuk simpanan masa depan, tetapi kita perlu menangani isu-isu semasa yang mendesak," kata Saraswathy yang menjaga 41 orang termasuk orang kelainan upaya (OKU).

Sementara itu, seorang eksekutif dari Shah Alam, Selangor, Wanna Nadjwa, 22, berkata, pengeluaran KWSP perlu diuruskan dengan bijak.

Katanya, dia mengeluarkan RM7,000 melalui i-Sinar untuk menampung kerugian restoran keluarganya yang terjejas teruk semasa wabak itu.

Menurutnya, ia merupakan jumlah yang besar untuk graduan baharu sepertinya.

"Wang itu juga membantu membayar pinjaman pelajar saya," katanya sambil menambah bahawa masih ada masa untuk membina semula simpanan persaraannya.

Seorang pengurus dari Petaling Jaya, Selangor yang mahu dikenali sebagai Wong, 40, berkata, pengeluaran selanjutnya daripada KWSP akan menimbulkan masalah kepada ahli pada masa depan.

Walaupun membantu dalam memberikan bantuan segera untuk sesetengah orang semasa pandemik, dia mencadangkan agar pengeluaran sedemikian dihentikan.

“Saya tidak akan mencadangkan agar kerajaan meneruskannya kerana ia akan menyebabkan orang ramai mengeluarkan seluruh simpanan mereka tanpa mempunyai apa-apa untuk masa depan.

“Sebaliknya, orang ramai harus mencari cara lain untuk memperoleh pendapatan dengan melakukan kerja sambilan,” kata Wong, sambil menambah bahawa dia terpaksa menggunakan sebahagian daripada simpanan KWSP selepas syarikatnya mengenakan potongan gaji.

Low Yoke San, 39, pula berkata, dia mengelak daripada menyentuh wang KWSP walaupun dalam keadaan sukar.

Ibu kepada dua orang anak itu yang bekerja di bahagian latihan sebuah firma swasta berkata, dia memanfaatkan sebaiknya wang yang ada walaupun gajinya dipotong dan hidup "berjimat cermat" dengan suaminya yang bekerja di sebuah kolej swasta.

“Kami bekerja di sektor swasta dan simpanan untuk hari tua hanyalah KWSP. Jika kita kehilangan itu, kita akan menghadapi masalah besar di hari tua kelak,” tambahnya.

Low berkata, dia mempunyai kenalan yang telah menghabiskan simpanan KWSP mereka dan kini berada dalam kebingungan, bergantung kepada anak mereka untuk semua keperluan mereka.

“Malah, ada yang bekerja sebagai pengawal keselamatan walaupun sudah mencecah usia 70-an.

"Ia benar-benar menakutkan," tambahnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram