PEMUDA Umno menasihatkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz supaya jangan mengelirukan rakyat berhubung penjelasan isu pengeluaran khas i-Citra 2.0.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, rakyat pada hakikatnya sedang terdesak dan tidak berminat dengan alasan teknikal dasar monetari negara.
Menurut beliau, ia kerana mereka tahu bahawa Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 1991 sendiri membenarkan kemudahan pengeluaran simpanan KWSP apabila pencarum berdepan dengan krisis kehidupan seperti hari ini.
“Saya harap Zafrul janganlah mengelirukan rakyat. Sebagai contohnya, walaupun anggaran pengeluaran wajib pencarum mencecah RM34 bilion setahun, tetapi caruman wajib yang diterima oleh KWSP pada tahun ini (2022) juga dianggarkan mencecah RM70 bilion (mengambil kira unjuran data daripada Zafrul sendiri).
“Maka masih wujud lebihan tunai sebanyak RM36 bilion. Jadi apa masalahnya jika tuntutan i-Citra 2.0 ini dipenuhi memandangkan anggaran jumlahnya cuma sekitar RM25 bilion hingga RM30 bilion sahaja?” soalnya dalam siaran di Facebook pada Selasa.
Pada Isnin, Tengku Zafrul melalui siaran video di Facebook rasmi miliknya tampil menjelaskan implikasi pengeluaran khas i-Citra 2.0 terhadap Keluarga Malaysia, perniagaan dan ekonomi negara.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, ia tidak melibatkan apa-apa kecairan di pasaran modal atau memerlukan KWSP menjual aset di luar negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram