CADANGAN untuk mendaftar dan mewujudkan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada para atlet bakal diselesaikan pada tahun ini, kata Datuk Sri Dr. Mohammed Azman Datuk Aziz Mohamed.
Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso itu berkata, perkara tersebut yang masih lagi dalam perbincangan turut memperincikan keperluan yang harus dilaksanakan.
Katanya, perbincangan itu juga membabitkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), persatuan serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dengan kebajikan para atlet.
"Jadi, kita sebenarnya bukan hanya berbincang dengan kementerian, malah semua stakeholders (pihak berkepentingan) atau pemegang taruh turut terlibat dengan perbincangan ini, dan mereka faham akan keperluan dan kepentingan perlindungan keselamatan sosial," katanya kepada Majoriti.
MOHAMMED Azman berkata, cadangan mewujudkan caruman Perkeso kepada para atlet masih dalam perbincangan.
Beliau berkata demikian selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majoriti dan Perkeso di ibu negara pada Khamis.
Mengulas lanjut, Mohammed Azman berkata, caruman Perkeso itu turut mengambil kira situasi golongan atlet yang bekerja sepenuh masa, selain terdedah kepada risiko yang boleh membawa kepada kecederaan dan kemalangan.
"Jika mereka tidak boleh meneruskan aktiviti atau pekerjaan mereka sebagai atlet, mereka juga memerlukan gantian pendapatan.
"Jadi, kita berharap perkara ini dapat diselesaikan dalam waktu terdekat dan mereka mempunyai perlindungan keselamatan sosial," katanya.
Terdahulu, KBS pada Disember 2020 difahamkan mengutarakan usul skim caruman Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dan Perkeso pada Mesyuarat Lembaga Pengurus Majlis Sukan Negara (MSN).
Media tempatan melaporkan, usaha untuk mendapatkan pengesahan daripada KBS dan MSN mengenai perkara tersebut tidak berhasil kerana mungkin apa yang dibangkitkan itu hanya satu perbincangan.
Sebelum ini, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengusulkan Skim Pencen Atlet Olimpik diperluaskan kepada semua atlet yang pernah beraksi dalam Sukan Komanwel. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram