KWSP isytihar kadar dividen 2021


  • Primer
  • Rabu, 02 Mac 2022

PENGISYTIHARAN itu diumumkan pada Rabu oleh KWSP. — Gambar Fail

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 6.1% bagi Simpanan Konvensional 2021 dengan pembayaran berjumlah RM50.5 bilion.

Manakala sebanyak 5.65% bagi Simpanan Syariah 2021 dengan pembayaran berjumlah RM6.3 bilion, umum KWSP pada Rabu.

Secara keseluruhan, pembayaran untuk 2021 berjumlah RM56.8 bilion.

Tahun lepas, KWSP mengisytiharkan dividen sebanyak 5.2% untuk Simpanan Konvensional 2020 dan 4.9% untuk Simpanan Syariah 2020.

Sedekad lalu menyaksikan pembayaran dividen KWSP untuk Simpanan Konvensional pada 5.8% pada 2010 diikuti 6% (2011), 6.15% (2012), 6.35% (2013), 6.75% (2014), 6.4% (2015), 5.7% (2016), 6.9% (2017), 6.15% (2018), 5.45% (2019) dan 5.2% (2020).

Bagi Simpanan Syariah, ia mencatatkan dividen sebanyak 6.4% pada 2017, 5.9% pada 2018, 5% pada 2019 dan 4.9% pada tahun lepas (2020).

Sementara itu, Bernama melaporkan, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengatakan dividen tinggi pada 2021 itu adalah sebahagian daripada portfolio kukuh dan yang dipelbagaikan oleh dana pencen tersebut di peringkat global.

"Pengeluaran berkaitan pandemik sebanyak RM101 billon sejak tahun 2020 telah menyebabkan 48 peratus ahli KWSP mempunyai amaun kurang daripada RM10,000 dalam akaun mereka.

"Kami berharap dividen ini dan prestasi kukuh berterusan kami akan membantu kami memulakan proses membina semula simpanan persaraan ahli-ahli kami, seiring dengan pemulihan ekonomi,” katanya pada taklimat media mengenai prestasi kewangan 2021 KWSP, Kuala Lumpur pada Rabu.

Menurutnya, kebimbangan utama terhadap pengeluaran itu adalah impaknya kepada kecukupan persaraan ahli.

Bagaimanapun, katanya, meskipun cabaran menguruskan kecairan dalam menghadapi aliran keluar simpanan ini, KWSP mempunyai keupayaan untuk bertindak balas pantas dengan impak yang minimum kepada pasaran kewangan.

Bagi 2021, Amir Hamzah berkata, KWSP telah mengimbangi semula dan menguruskan portfolio pelaburannya dengan membeli saham yang kukuh asasnya pada harga menarik serta memanfaatkan pelaburannya di luar negara yang menyumbang 56 peratus kepada keseluruhan pulangannya.

Setakat 31 Disember, 2021, beliau berkata, KWSP merekodkan peningkatan 6.0 peratus dalam pendapatan pelaburan kasar kepada RM67.06 bilion daripada RM63.45 bilion pada 2020, dipacu daripada pemulihan pasaran ekuiti dan kebanyakan kelas aset di tengah-tengah lantunan semula ekonomi global.

"Bagi 2021,KWSP merekodkan caruman bersih yang negatif buat pertama kalinya (caruman selepas pengeluaran) dalam tempoh 20 tahun sebanyak RM58.2 bilion, tetapi masih kekal berhemat dalam strategi pelaburan jangka panjangnya di samping menyesuaikan diri dengan cabaran untuk memastikan pulangan mampan bagi tempoh jangka panjang.

"KWSP merekodkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM67.06 bilion, dengan RM6.91 bilion diperuntukkan kepada Simpanan Shariah,” katanya.

Amir Hamzah berkata, prestasi itu disumbang daripada usaha pendekatan kepelbagaian KWSP mengikut panduan daripada Peruntukan Aset Strategik (SAA), yang menjadikan dana pencen itu mampu bertahan daripada kejutan kewangan dan terus stabil dalam situasi yang belum pernah berlaku.

"Mengikut kelas aset, instrumen Pendapatan Tetap membentuk 45 peratus daripada pelaburan, manakala Ekuiti terdiri daripada 44 peratus. Hartanah dan Infrastruktur serta instrumen Pasaran Wang masing-masing membentuk 6.0 dan 5.0 peratus daripada aset KWSP,” katanya.

Pengkreditan dividen bagi Simpanan Konvensional dan juga Simpanan Syariah dijangka selesai pada 6 Mac, 2022 dan ahli-ahli boleh memeriksa akaun mereka menerusi i-Akaun atau mendapatkan penyata mereka daripada kioks KWSP di seluruh negara. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

KWSP, kadar dividen, syariah, konvensional