Empat pekerja sangkar ikan warga asing kena cekup APMM P.Pinang


  • 112
  • Rabu, 02 Mac 2022

EMPAT warga Myanmar termasuk seorang wanita ditahan gagal kemukan dokumen pengenalan diri yang sah. — APMM

EMPAT pekerja sangkar ikan warga asing yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan dan pengenalan diri ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Pulau Pinang di perairan Pulau Gedong, di George Town, Pulau Pinang pada Selasa.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kapten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, tiga lelaki dan seorang wanita warga Myanmar itu dikesan selepas pihaknya memeriksa sangkar ikan yang terletak di kedudukan 0.4 batu nautika timur Pulau Gedong pada 12.10 tengah hari Rabu.

"Pemeriksaan mendapati keempat-empat mereka yang berumur 25 hingga 28 tahun itu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan atau pengenalan diri, dan mereka dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin di Batu Uban sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu berada di Malaysia tanpa memiliki pas yang sah dan pihaknya sedang berusaha mengesan pemilik sangkar ikan itu bagi membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram