Mangsa terakhir perahu karam di Tawau ditemui


  • 112
  • Isnin, 03 Jan 2022

OPERASI SAR membabitkan pelbagai agensi ditamatkan pada 10 pagi, Isnin.— Bernama

MAYAT mangsa terakhir tragedi perahu karam di perairan Batu Payung, membabitkan tiga beradik pada Sabtu, Rahena Muhaimin, 20, ditemukan pada 8.37 pagi Isnin di selatan perairan Membalua di Tawau, Sabah.

Timbalan Pengarah Zon Maritim Tawau, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Komander Amiludin Yenggah berkata, mayat mangsa terakhir itu ditemukan pihaknya dalam keadaan tertiarap dan terapung.

"Identiti Rahena kemudian disahkan sendiri ibu bapa mangsa. Pada Ahad, penduduk kampung menemukan mayat dua adik Rahena iaitu Saiful,15, di laut serta Jaidi, 5, yang terdampar di pesisir pantai Batu Payung," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Korban perahu karam di perairan Batu Payung Sabtu lalu (1 Januari 2021) melibatkan tiga beradik manakala enam lagi termasuk tiga lagi adik-beradik mangsa yang menaiki bot sama, terselamat.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang itu, perahu yang dinaiki sembilan individu termasuk enam beradik berkenaan untuk berekreasi di pantai berkenaan terbalik setelah dipukul ombak besar.

Dengan penemuan mayat ketiga itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan pelbagai agensi termasuk polis, bomba, Agensi Pertahanan Awam selain penduduk kampung ditamatkan pada 10 pagi, Isnin.

"Operasi pencarian ini turut mendapat bantuan Badan SAR Nasional (Basarnas) serta tentera laut dari Indonesia yang membantu meninjau jika ada mangsa perahu karam ini berada di sempadan perairan negara itu," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau Supritendan Nor Azizulkifli Mansor berkata saringan awal Covid-19 yang dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap dua mangsa lemas iaitu Saiful dan Jaidi semalam didapati positif.

"Namun KKM akan menjalankan saringan kedua, begitu juga ujian saringan akan dijalankan terhadap mayat mangsa terakhir. Sehubungan itu, saya menasihatkan keluarga mangsa atau individu rapat melakukan kuarantin kendiri, sekiranya terdapat simptom Covid-19 hendaklah segera merujuk ke klinik kesihatan berhampiran," katanya.— Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

bot karam, mangsa, apmm, perairan membalua, tawau