Kapal kargo Indonesia ditahan di Kota Tinggi


  • 112
  • Ahad, 30 Jan 2022

MARITIM Malaysia menahan kapal kargo disyaki bersauh tanpa kebenaran di Tanjung Sedili Kechil, Kota Tinggi, petang Sabtu. — Maritim Malaysia

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah kapal kargo berdaftar Indonesia kerana berlabuh secara haram di Tanjung Sedili Kechil, dekat Kota Tinggi, Johor.

Pengarah APMM Johor, Laksamana Pertama Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal kargo itu ditahan agensi penguat kuasa berkenaan pada jam 1.33 tengah hari Sabtu, di kedudukan 30.7 batu nautika (56 kilometer) timur.

"Hasil pemeriksaan mendapati, kapal itu dinaiki 20 lelaki dari Indonesia berusia antara 21 dan 47 tahun, semuanya bersama dokumen perjalanan yang sah.

"Bagaimanapun, kapal itu tidak memiliki sebarang permit berlabuh yang sah dikeluarkan Pengarah Laut Malaysia, sekali gus melanggar Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambahnya, kapal sepanjang 120 meter itu dirampas dan akan disiasat mengikut Seksyen 491B (1) (L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, yang boleh dihukum denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya.

"Kita akan terus melakukan rondaan dan pemantauan di sempadan kita bagi memastikan keselamatan dan keamanan negeri ini terjamin," katanya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram