AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menahan 15 nelayan Vietnam selepas didapati menceroboh dan menjalankan aktiviti menangkap ikan dengan menggunakan dua bot di kedudukan kira-kira 51.7 dan 52.8 batu nautika dari muara Tok Bali, Kelantan pada Selasa.
Pengarah APMM Kelantan, Kapten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, kedua-dua bot ditahan secara berasingan menerusi rondaan Op Naga Barat dan Op Kuda Laut di perairan Kelantan sekitar 5.40 petang.
"Kedua-dua bot cuba meloloskan diri namun bot pertama yang dinaiki 12 kru termasuk tekong berjaya ditahan pada 6.10 petang manakala bot kedua yang dinaiki tiga kru ditahan kira-kira 25 minit kemudian.
"Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua nelayan asing berusia lingkungan 20 hingga 65 tahun itu tidak memiliki permit untuk menangkap ikan di bawah Akta Perikanan 1985," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Syed Nor Adli berkata, pihaknya turut merampas sejumlah peralatan menangkap ikan, ikan seberat 300 kilogram, 50 kilogram sotong kering dan 6,000 liter diesel yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM3 juta.
"APMM mengambil masa hampir 13 jam untuk mengiringi kedua-dua bot ke Jeti APMM, Tok Bali berikutan sistem enjin yang disengaja dirosakkan oleh kedua-dua tekong bot sebelum ditahan," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) dan Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram