159 nelayan Vietnam didenda RM38 juta


  • 112
  • Rabu, 23 Feb 2022

KEJAYAAN mensabitkan kesemua nelayan asing itu adalah hasil penguatkuasaan agensi berkenaan yang sangat memandang serius isu pencerobohan perairan negara bagi aktiviti menangkap hasil laut negara.

SEBANYAK 159 nelayan warga Vietnam dihadapkan ke mahkamah dan didenda keseluruhan RM38.25 juta selepas didapati bersalah menceroboh perairan Terengganu sejak Mac tahun lepas hingga Januari lalu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, Kapten (M) Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, kejayaan mensabitkan kesemua nelayan asing itu adalah hasil penguatkuasaan agensi berkenaan yang sangat memandang serius isu pencerobohan perairan negara bagi aktiviti menangkap hasil laut negara.

"APMM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama nelayan asing yang menceroboh perairan negara bagi mengaut hasil laut tanpa kebenaran yang akan merugikan negara," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata kesemua nelayan berusia 18 hingga 60 tahun itu ditahan menerusi Op Naga Barat dan Op Kuda Laut dan 15 bot mereka turut dirampas.

Menurutnya, 14 bot yang telah disabitkan kesalahan itu telah dilucut hak dan akan dilupuskan sebagai tukun tiruan manakala sebuah bot lagi membayar denda serta diusir ke negara asal.

Muhammad Suffi berkata pihaknya juga memandang serius penglibatan nelayan tempatan yang dipercayai bersekongkol dan menjadi tali barut nelayan asing.

"Rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan untuk mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim. APMM akan terus melaksanakan rondaan di perbatasan sempadan negara bagi mengekang pencerobohan nelayan asing yang tidak serik menjarah hasil laut tanpa kebenaran," katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan kerjasama masyarakat terutama nelayan tempatan untuk melaporkan sebarang maklumat dan salah laku di perairan negara di talian MERS 999 atau 09-622 4357 (Pusat Operasi) Maritim Negeri Terengganu.

Sementara itu, Muhammad Suffi turut menjemput orang ramai untuk mengunjungi Pameran Maritim Negeri Terengganu yang sedang berlangsung di Galeri Drawbridge di sini sejak 10 Februari hingga 10 Mac depan.

Katanya, pelbagai aktiviti menarik diadakan termasuk pameran senjata, kapal terbuka serta pemeran maya bertujuan untuk menerangkan tugas dan fungsi APMM selain memberikan tip kesedaran keselamatan di laut kepada orang ramai. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

APMM, nelayan, ceroboh, perairan, vietnam, denda