AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menyarankan kira-kira 3,000 nelayan di negeri ini supaya menangguhkan semua aktiviti perikanan berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.
Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, saranan itu dikeluarkan berikutan keadaan laut bergelora, angin kecang, hujan lebat dan fenomena air pasang yang dijangka berlaku dalam tempoh terdekat.
"Hujan berterusan, laut bergelora dan angin kencang yang berlaku sejak dua hari lalu terjadi berikutan luruan monsun dan sistem cuaca tekanan rendah yang menyebabkan pembentukan awan mudah terjadi.
Fenomena ini menyebabkan Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran kategori ketiga disebabkan angin kencang sehingga 60 km/j dan ombak sehingga setinggi 4.5 meter (m) termasuk hujan lebat,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Syed Nor Adli berkata, situasi ini sangat berbahaya kepada bot-bot rekreasi, bot nelayan dan juga perkapalan kerana dikhuatiri ia tidak stabil dan mudah terbalik.
"Pihak kami akan membuat rondaan secara berkala bagi memastikan tiada sebarang aktiviti di persisiran pantai dan mengingatkan masyarakat supaya tidak berbuat demikian ketika ini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Bachok, Saripudin Ishak ketika ditemui berkata, pihaknya juga telah mengarahkan lebih 300 bot nelayan di jajahan ini tidak keluar menangkap ikan dalam tempoh seminggu bermula hari ini kerana faktor cuaca yang tidak mengizinkan.
"Keadaan cuaca yang berlaku ketika ini tidak menentu dan sangat luar biasa berbanding Disember tahun lalu. Oleh itu, pada sebelah malam, kami akan memantau bot-bot di Kuala Kemasin secara bergilir-gilir kerana bimbang perkara tidak diingini terjadi," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram