PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan notis tuntutan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung tohmahan serta kenyataan yang didakwa berbaur fitnah ke atasnya.
Perkara itu dinyatakan dalam dua kenyataan media oleh Tetuan Shahrul Hamidi dan Haziq, yang mewakili Ahmad Zahid.
Mahathir didakwa membuat kenyataan terbabit dalam sesi soal jawab selepas Pelancaran Aspirasi Pejuang bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Putrajaya pada 23 Februari lepas manakala Muhyiddin dalam ucapannya di Felda Tenggaroh, Johor pada 16 Februari.
"Satu notis tuntutan dikeluarkan serta diserahkan kepada Mahathir dan Muhyiddin masing-masing pada 25 dan 23 Februari secara kendiri selain Pos Berdaftar.
"Sehingga kini, kami masih belum menerima apa-apa jawapan,” menurut firma guaman berkenaan dalam kenyataan tersebut.
Notis itu antaranya menuntut supaya kedua-dua pemimpin menghentikan, memadam dan menurunkan penerbitan kenyataan tersebut dalam tempoh tujuh hari.
Kenyataan tersebut turut menuntut satu permohonan maaf secara bertulis dan terbuka diterbitkan kepada Ahmad Zahid serta aku janji tidak akan mengulangi kenyataan sama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram