PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor merupakan ujian awal bagi mengukur kematangan pengundi muda dalam proses demokrasi dan pilihan raya.
Lebih 700,000 pengundi muda telah didaftarkan secara automatik selepas Undi 18 diwartakan pada 14 Januari 2022.
Pewartaan tersebut menjadikan jumlah pengundi dalam PRN Johor meningkat sebanyak 28 peratus. Daripada jumlah tersebut 40 peratus adalah pengundi muda.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pahang, Kampus Raub, Dr. Ilyas Abdullah berkata, pengundi muda diharapkan dapat menilai secara matang setiap janji-janji yang ditabur oleh parti politik yang bertanding.
Beliau berkata, golongan itu harus membuktikan bahawa penyertaan mereka dalam proses pilihan raya adalah tepat dan diperlukan bagi mengubah landskap politik negara selari dengan proses pendemokrasian.
"Pendekatan identifikasi parti harus dielakkan oleh pengundi muda. Mereka harus keluar daripada terlalu taksub dan bersikap kepartian sebaliknya perlu dipengaruhi dengan sentimen semasa.
"Pengundi muda harus memilih parti yang mampu menawarkan kualiti berpolitik yang matang dan progresif," katanya kepada Majoriti.
ILYAS berkata, pengundi muda harus memilih parti yang mampu menawarkan kualiti berpolitik yang matang dan progresif.
Ilyas berkata, walaupun hakikatnya tiada parti yang benar-benar mempunyai kualiti berpolitik seperti itu, pengundi muda harus bijak membuat pilihan seiring dengan aspirasi politik anak muda.
Generasi muda, katanya, tidak terlalu terikat dengan politik budi sepertimana generasi lama bahkan golongan ini lebih terarah kepada sentimen semasa yang melingkari kehidupan semasa mereka.
"Isu seperti peluang pekerjaan, kenaikan harga barangan, isu pinjaman pendidikan dan perumahan merupakan antara isu utama yang sering menjadi topik perbincangan.
"Justeru, pengundi muda harus benar-benar perlu menilai parti mana yang benar-benar mampu memenuhi aspirasi pengundi muda agar tidak terjerat dengan janji-janji politik populis," katanya.
Mengulas lanjut, Ilyas berkata, parti politik yang bertanding dalam PRN Johor mulai menampilkan calon-calon muda yang disifatkan satu strategi parti politik bagi menarik sokongan pengundi muda.
Bagaimanapun, katanya, calon muda yang ditampilkan haruslah mempunyai kredibiliti sebagai pemimpin serta mempunyai latar belakang pendidikan dan sahsiah yang baik dan bukan sekadar muda dari segi umur sahaja.
"Rasionaliti dalam berpolitik harus dijadikan sandaran paling utama agar landskap politik negara dapat diubah menjadi lebih matang, unggul dan dihormati," ujarnya.
Katanya lagi, sifat ketaksuban dalam berpolitik hanya membawa kepada penutupan minda serta menjurus kepada kesilapan yang berulang-ulang.
"Pengundi muda harus menunjukkan jalan keluar kepada elit politik yang tiada kualiti, korup dan tiada integriti tanpa mengira fahaman politik agar perwakilan yang berada di Dewan Legislatif benar-benar layak diangkat sebagai pemimpin," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram