PRN Johor: Angin perubahan mula bertiup, BN sasar dua pertiga majoriti


  • Politik
  • Ahad, 27 Feb 2022

BN yakin lebih 70 peratus calon baharu yang diketengahkan bakal membawa perubahan dalam kalangan pengundi muda menjelang PRN Johor. — Gambar hiasan/ The Star

BARISAN Nasional (BN) meletakkan sasaran untuk meraih dua pertiga majoriti atau sekurang-kurangnya 38 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN mempunyai kekuatan tersendiri dan bukan melihat kepada aspek kelebihan atau kekurangan apabila terlalu ramai calon diketengahkan pelbagai parti.

"Angin perubahan mula bertiup di Johor bukan sahaja dalam kalangan orang Melayu malahan peningkatan sokongan pengundi India dan Cina terutama di kawasan bandar mula bertukar arah kepada calon BN,” katanya selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama masyarakat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Ayer Hitam Barat, Batu Pahat, Johor pada Ahad.

Pada PRN Johor, daripada 56 kerusi DUN, dua kawasan iaitu Kempas dan Tiram menyaksikan pertandingan tujuh penjuru, pertandingan enam penjuru di empat kerusi, lima penjuru (lapan), empat penjuru (35) dan tiga penjuru (7).

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno yakin beberapa tawaran dalam manisfesto BN yang akan dilancarkan kelak seperti menawarkan rumah generasi kedua kepada peneroka Felda, akan memberikan harapan kepada pengundi muda.

Ujarnya, lebih 70 peratus muka baharu yang diketengahkan sebagai calon BN mampu menjadi pembawa perubahan dalam kalangan pengundi muda.

"Walaupun calon-calon ini bertembung dengan calon sama taraf dari segi umur, kelayakan akademik, muka baharu tetapi kita yakin berdasarkan rekod daripada Kerajaan Johor yang mempunyai 14 Menteri Besar di bawah pimpinan BN atau UMNO, memberi keyakinan dan harapan semula kepada calon untuk bentuk kerajaan negeri,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi pada 12 Mac manakala undi awal pada 8 Mac.

Pada PRN Melaka tahun lalu, BN meraih dua pertiga majoriti selepas menang 21 daripada 28 kerusi dipertandingkan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram