PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor secara rasminya membuka tirainya pada Sabtu dengan proses penamaan calon seramai 239 individu yang bakal bertanding.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh 14 hari untuk berkempen bagi semua parti yang bertanding sebelum hari pengundian pada 12 Mac, manakala undi awal pada 8 Mac.
Perang bendera mula berlaku di seluruh negeri Johor dengan semua parti yang bertanding gigih memasang bendera di segenap kawasan yang ditandingi bagi menarik perhatian pengundi.
Namun, tular di media sosial tindakan beberapa individu dipercayai ahli parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang dikatakan sengaja melakukan provokasi dengan memasang bendera parti itu di pagar bangunan Badan Perhubungan Umno Negeri Johor di Johor Bahru, Johor pada malam Ahad.
Mereka dilihat memakai baju hitam yang tertera logo parti Muda dan membawa beberapa helai bendera parti tersebut untuk dipasang di kawasan itu.
Kelakuan mereka bagaimanapun disedari oleh individu lain dipercayai ahli Umno yang kemudian menyergah dan menegur tindakan tersebut.
"Inikah cara anda semua berkempen? Budak Muda kurang ajar pasang bendera di bangunan Umno. Inikah cara Muda berkempen?" teriaknya.
Selepas disergah, pemuda-pemuda tersebut kelam-kabut mencabut kembali bendera yang dipasang dan pantas meninggalkan kawasan tersebut.
Perkara itu mengundang kecaman orang ramai yang tidak menyenangi cara provokasi yang dilakukan oleh pemuda-pemuda tersebut.
Setakat ini, masih belum terdapat kenyataan daripada pada parti Muda mengenai perkara itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram