UJIAN bertulis peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 akan dilaksanakan mulai 2 Mac hingga 29 Mac ini membabitkan seramai 407,097 calon.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, seramai 50,514 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan tersebut dan sebanyak 3,382 pusat peperiksaan di seluruh negara terlibat.
"Semua calon diingatkan merujuk jadual waktu ujian bertulis peperiksaan SPM 2021 untuk maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung," kata KPM.
Semua calon diingatkan agar membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.
Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun dari portal rasmi Lembaga Peperiksaan (LP) menerusi http://lp.moe.gov.my.
Calon juga hendaklah mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang dikeluarkan KPM, serta prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan bagi mencegah penularan wabak Covid-19.
Garis panduan tersebut boleh dimuat turun dari portal rasmi KPM di https://www.moe.gov.my. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram