Biar kita cari orang susah, bukan orang susah cari kita — Idris


  • Primer
  • Jumaat, 25 Feb 2022

IDRIS menasihatkan agamawan di negara ini supaya berhenti daripada bercakaran di platform media sosial masing-masing kerana dikhuatiri berlaku kecelaruan dalam kalangan orang ramai terutama golongan yang ingin memahami Islam. — Gambar Fail

KES wanita yang tular berikutan mendakwa ibunya lambat memperoleh bantuan dan berhasrat ingin mendapatkan bantuan daripada gereja perlu dijadikan pengajaran kepada masyarakat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, ia supaya kejadian sama tidak berulang walaupun kes itu telah selesai.

"Saya selalu guna kata-kata ‘biar kita yang mencari orang susah, bukan orang susah yang mencari kita.

"Kita tahu orang susah kerja kais pagi makan pagi, kais petang makan petang... kita kena cari sebab kita kerja makan gaji dan ada elaun, kita yang pergi cari dan dapatkan maklumat daripada imam, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dan sebagainya jadi maklumat mesti ada didaftar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2021 di Taiping, Perak pada Jumaat.

Menurut Idris, semua pihak terutama jiran perlu mengamalkan sikap mengambil tahu supaya tiada keluarga susah yang terabai.

Pada Khamis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dilaporkan meluluskan bantuan bulanan penjagaan Orang Kurang Upaya (OKU) Terlantar dan Pesakit Kronik Terlantar berjumlah RM500 mulai bulan depan kepada ibu Diwiyana Mohammed yang terlantar sakit dan lumpuh seperti tular baru-baru ini.

Unit Perhubungan Awam JKM dalam kenyataan memaklumkan, Diwiyana selaku pengadu telah diberi kelulusan serta-merta di bawah skim Tabung Bantuan Segera RM300 sekali gus untuk ibunya.

Sejak Selasa lepas, tular sebuah video berdurasi tiga minit empat saat menerusi akaun TikTok @dyanamohammed3 yang memaparkan kekecewaan Diwiyana terhadap JKM Negeri Perak dan Lembaga Zakat Perak kerana mendakwa hampir dua tahun berusaha mendapatkan bantuan untuk ibunya yang terlantar sakit, namun tidak mendapat perhatian sewajarnya.

Sementara itu, Idris menasihatkan agamawan di negara ini supaya berhenti daripada bercakaran di platform media sosial masing-masing kerana dikhuatiri berlaku kecelaruan dalam kalangan orang ramai terutama golongan yang ingin memahami Islam.

"Sebab itu saya turun ke negeri-negeri untuk membuat program Muttaqa Murabbi Ummah supaya dalam kalangan kita, jangan ada buat polemik kepada masyarakat awam tetapi berbincang mengenai perkara yang mendatangkan manfaat kepada umat," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram