'SPR, tolong jangan tambah bebanan pelajar SPM'


  • Massa
  • Isnin, 14 Feb 2022

KPM pada Sabtu memohon kepada SPR agar tidak menjadikan sekolah menengah di Johor yang akan menghadapi PRN sebagai pusat pengundian. — Gambar File

GABUNGAN Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyokong penuh permintaan yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) agar tidak menggunakan semua sekolah menengah di Johor sebagai pusat pengundian.

Tujuan itu demi memastikan tidak wujud gangguan berikutan pelaksanaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bermula 26 Februari sehingga hari pengundin pada 12 Mac.

"GPMS perlu menzahirkan kekhuatiran berlakunya gangguan langsung mahupun tidak langsung kepada perjalanan peperiksaan SPM sekiranya SPR menetapkan penggunaan premis sekolah menengah sebagai tempat membuang undi.

"Gangguan seperti perubahan susun atur meja dan kecelaruan sistem indeks adalah sangat besar memandangkan hampir keseluruhan bilik di sekolah menengah digunakan bagi tujuan peperiksaan utama, pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dan juga persediaan kepada keadaan luar jangka ketika bilangan kes Covid-19 di negara ini kembali meningkat," kata Mohd Alif Anas Hj Md Noor, Presiden GPMS.

Mohd Alif berkata dalam satu kenyataan pada Isnin, kohort SPM 2021 merupakan kohort yang mendapat impak pandemik Covid-19 yang paling besar setakat ini ekoran sebahgaian besarnya menjalani menjalani kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung.

Oleh itu, GPMS menyeru agar bebanan pelajar SPM tidak harus ditambah lagi dengan perkara yang boleh dielakkan.

"Kami percaya pihak SPR boleh mengenal pasti premis-premis lain yang sesuai digunakan sebagai tempat membuang undi seperti sekolah rendah, dewan serbaguna, balai raya dan mana-mana premis alternatif yang sesuai di negeri Johor bagi mengelakkan penggunaan sekolah menengah.

"Kami berharap agar hal ini dapat diselesaikan dengan baik dan pada kadar segera agar akhirnya tiada sebarang kesan langsung mahupun tidak langsung dirasai golongan pelajar yang akan menduduki SPM di negeri Johor," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram