Menteri arah baiki empat sekolah di Kota Tinggi


  • Primer
  • Rabu, 23 Feb 2022

RADZI (berdiri) ketika lawatannya ke SMK Tan Sri Jaafar Albar di Kota Tinggi pada Selasa. — Facebook Dr Radzi Jidin

JABATAN Pendidikan Negeri (JPN) Johor dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di negeri ini diminta mengambil tindakan segera terhadap kerosakan infrastruktur dan kemudahan di empat sekolah di Kota Tinggi, kata Datuk Dr Radzi Jidin.

Menteri Kanan Pendidikan itu berkata, kerosakan membabitkan tingkap, bumbung dan tandas itu melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tan Sri Jaafar Albar, SMK Bandar Easter, Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Setia Jaya serta SK Bandar Easter.

"Insya-ALLLAH kami akan ikhtiarkan yang terbaik bagi menyediakan persekitaran lebih selesa buat seluruh warga sekolah," katanya menerusi hantaran dalam laman Facebook rasminya pada Rabu.

Beliau berkata, lawatannya di Kota Tinggi pada Selasa bertujuan meninjau keadaan infrastruktur, pengoperasian serta persediaan sekolah-sekolah menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 pada 2 Mac depan.

Di samping meninjau perjalanan Ujian Bertutur Bahasa Inggeris bagi calon SPM 2021 yang sedang berlangsung di SMK Tan Sri Jaafar Albar dan SMK Bandar Easter, beliau turut memberikan kata-kata semangat kepada calon-calon SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di sekolah terbabit.

"Saya berkongsi tentang aspirasi untuk menerapkan konsep Sekolahku Sejahtera melalui 14 elemen utama seperti seronok, selamat, sihat, etika, empati dan artikulasi. Elemen ini perlu diterapkan secara semula jadi dalam kalangan anak-anak khususnya," katanya.

SPM akan berlangsung dari 2 hingga 29 Mac ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

sekolah, infrastruktur, JPN, PPD, SPM, Radzi Jidin