"APAKAH proses semak dan imbang dari urusan teratas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang boleh meluluskan topik 'pelik' seperti ini?"
Itu persoalan yang diutarakan Presiden Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (Page), Noor Azimah Abdul Rahim berhubung isu soalan ujian lisan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berkaitan perkahwinan idaman.
Katanya, soalan berkenaan amat mengejutkan, malah beliau turut mempersoalkan bagaimana topik 'pelik' seumpama itu boleh tertimbul.
"Ia amat di luar jangkaan dan pastinya tidak terlintas di fikiran para pelajar untuk bersiap sedia menjawab dengan terlatih dan lancar.
" Jika tujuannya adalah untuk menilai dan menaksir bagaimana pelajar ini dapat mengatasi situasi untuk berfikir pantas, cara tiba-tiba atau impromptu menceritakan kisah fiksional alam impian, kemungkinan ia adalah satu cara yang boleh digunakan dan tidak salah," katanya kepada Majoriti.
Bagaimanapun ujar beliau, ia perlu dengan syarat, soalan kejutan bertemakan fantasi juga boleh digunakan tanpa persiapan sebagai instrumen penilaian.
Katanya, jika pelajar tidak tahu kemungkinan untuk soalan sebegini, maka ia adalah sangat tidak adil dan tidak berasas.
" Sudahlah pelajar ini menghadapi tekanan belajar waktu pandemik dan stres menghadapi peperiksaan, ini pula bagai 'sudah jatuh ditimpa tangga'.
"Kami bersimpati dengan nasib para pelajar ini," ujarnya.
Sementara itu, Noor Azimah turut memberitahu, topik aneh seperti soalan perkahwinan bukan isu baharu.
Jelasnya lagi, ahli jawatankuasa Page pernah menempuhinya pada SPM 1988 di sebuah sekolah mubaligh lelaki terkemuka di Petaling Jaya, Selangor.
"Soalan yang masih jelas menyentak fikirannya setelah lebih 30 tahun berlalu ialah mengenai “perkahwinan ramai-ramai” yang membuatnya terkejut apakah maknanya soalan ini, poligamikah, perkahwinan lambakkah atau sangat ramai orang di majlis?
"Dahulu tanpa media sosial, topik sebegini dibiarkan terpendam dan tidak diperbesarkan, tetapi sekarang seharusnya Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) perlu juga membuat penilaian adakah topik begini masih relevan dan apakah konsekuensi atau iktibar dari soalan sebegini?" kongsinya.
Hurainya lagi, dunia kini menuju ke arah globalisasi yang memerlukan pelajar-pelajar lebih peka dan terbuka kepada pemikiran makro, justeru perlu juga ada kemajuan di dalam pendidikan.
"Malaysia juga komited untuk mencapai hala tuju UNESCO Sustainable Development Goal yang keempat, iaitu meningkatkan kualiti pendidikan yang menyentuh kesaksamaan sukatan kurikulum dan ekualiti setara gender.
" Jelas sekali pelajar lelaki langsung tidak berfikir perkahwinan impian atau pelajar perempuan yang lebih lagi fokusnya untuk berpelajaran tinggi dan berkarier. Soalan sebegini tidak bersifat kesamarataan," tambahnya lagi yang turut mempersoalkan apakah pendidikan di Malaysia masih relevan sedangkan ia masih tersangkut di alam impian dan fikiran yang tidak meluaskan minda. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram