LEMBAGA Peperiksaan Malaysia (LPM) diharapkan supaya lebih teliti dengan bank data soalan perperiksaan supaya ia tidak menjadi 'cemuhan' orang ramai, kata Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan.
Menurut beliau, perkara itu perlu memandangkan soalan lisan seperti yang ditularkan di media sosial menimbulkan pertikaian ibu bapa dan warganet.
"Kita tidak nafikan komitmen Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi dalam kurikulum dalam kalangan pelajar, namun bentuk soalan perlu diteliti supaya ia tidak menjadi pertikaian.
"Saya percaya sepatutnya soalan yang dikemukakan perlu sesuai dengan dunia realiti semasa serta tidak terawang-awangan yang belum tercapai atau belum sesuai masa untuk diberi fokus kepada pelajar, " katanya kepada Majoriti.
Beliau berkata demikian mengulas isu yang tular tentang soalan ujian lisan Sijil Perperiksaan Malaysia (SPM) berkaitan tema perkahwinan idaman.
Tambahnya lagi, peperiksaan sama ada lisan atau tulisan bertujuan untuk mengetahui serta mencungkil pemikiran pelajar atau murid mengenai sesuatu perkara berkaitan ilmu, kemahiran dan sikap yang dipelajari.
"Tentunya soalan ditanya perlu relevan dan berkaitan mengenai jasmani, emosi, rohani, intelek dan sahsiah pelajar berkaitan," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram