Redah banjir 5 kilometer guna bot APM bawa jenazah ke kubur Kuala Krai


  • 112
  • Jumaat, 25 Feb 2022

ANGGOTA APM menggunakan bot untuk bawa jenazah ke kubur sejauh lima kilometer ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Bedal. — Sinar Harian

JENAZAH seorang lelaki berusia lingkungan 20-an pada Jumaat terpaksa dibawa ke tanah perkuburan menggunakan bot Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berikutan kawasan kediamannya di Taman Perumahan Bukit Sireh di Kuala Krai, Kelantan dilanda banjir.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Krai Kapten (PA), Abd Fatah Abd Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan memohon bantuan menguruskan jenazah Muhammad Shahrul Nizam Saufi, yang meninggal dunia akibat kanser usus pada pukul 12 tengah Jumaat.

"Kami telah dimaklumkan oleh keluarga arwah mengenai jalan di kampung itu yang tidak boleh dilalui kenderaan ringan akibat dinaiki air sedalam 0.2 hingga 0.5 meter.

"Lima anggota APM terpaksa membawa jenazah menggunakan bot sejauh lima kilometer dari rumah (keluarga arwah) di Taman Bukit Sireh, ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Bedal," katanya pada Jumaat.

Sementara itu tinjauan Bernama di Blok Pasir Puteh di Kampung Batu Mengkebang, Kuala Krai mendapati hampir 100 keluarga tidak dapat keluar melakukan urusan harian, selepas laluan ke kampung itu dinaiki air berikutan hujan lebat berterusan sejak Rabu lepas.

Seorang penoreh, Rosmadi Ab Manaf, 40, berkata, beberapa laluan di kampung terbabit mula dinaiki air sejak pukul 10 pagi tadi menyebabkan ia tidak dapat dilalui kenderaan.

"Air sungai turut melimpah sehingga menenggelamkan jalan utama yang sering digunakan penduduk kampung,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

jenazah, bot, APM, mangsa, banjir, Kuala Krai