Polis pantau banjir di Kuala Krai guna aplikasi Rain Alarm


  • 112
  • Jumaat, 25 Feb 2022

KEADAAN sebahagian kawasan di Kuala Krai yang sudah mula dinaiki air akibat hujan lebat berterusan sejak Rabu. — Facebook

APLIKASI cuaca ‘Rain Alarm’ yang memberi amaran jika hujan menghampiri lingkungan lokasi yang ditetapkan, menjadi satu daripada inisiatif diambil polis Kuala Krai, Kelantan untuk memantau ramalan cuaca terkini bagi mengelakkan perkara tidak diiingini berlaku seperti banjir.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, selain arahan atau amaran dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), aplikasi itu juga dapat memberi gambaran awal terhadap taburan hujan di sesuatu kawasan yang berkemungkinan boleh berlaku banjir.

"Memandangkan keadaan cuaca ketika ini tidak menentu, saya mengambil inisiatif sendiri dengan mengakses aplikasi 'Rain Alarm' kerana ciri-ciri teknologi yang terdapat dalam aplikasi ini boleh membantu untuk melihat ramalan cuaca.

"Sebagaimana kita sedia maklum, Kuala Krai antara kawasan yang sering dinaiki banjir terutama pada musim tengkujuh, jadi aplikasi ini dapat membantu saya untuk mengarahkan anggota bersiap sedia sekiranya berlaku banjir di jajahan ini," katanya.

Mengulas lanjut, Suzaimi berkata, inisiatif itu juga dilakukan sebagai satu daripada langkah untuk memastikan usaha menyelamatkan mangsa yang terkandas akibat banjir dapat dilakukan dengan secepat mungkin.

"Saya harap kawasan yang sentiasa berdepan dengan bencana alam seperti banjir, sentiasa peka dengan arahan dikeluarkan kerajaan selain mencari alternatif lain seperti mengakses aplikasi berkaitan ramalan cuaca sebagai tindakan awal mengelakkan perkara tidak diingini terjadi," katanya.

Pada Rabu lepas, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada yang dijangka berlaku di beberapa negeri hingga Sabtu.

Negeri yang terlibat adalah Kelantan, Terengganu, Pahang (Jerantut, Maran, Kuantan, Bera, Pekan, Rompin) dan Johor (Segamat, Kluang dan Mersing). — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram