TFC II didenda RM10,000, dua tonggak digantung kes pergaduhan


  • Podium
  • Jumaat, 25 Feb 2022

INSIDEN pergaduhan melibatkan pemain pasukan TFC II dan Penang FC II pada 9 Februari lalu. — Bernama

TERENGGANU FC (TFC) II didenda sebanyak RM10,000 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berikutan insiden pergaduhan melibatkan pemainnya yang berlaku ketika Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru Piala YAB Menteri Besar Terengganu menentang Penang FC awal bulan ini.

Pemainnya yang terlibat dalam insiden itu, Muhd Aqil Irfanuddin turut dikenakan denda sebanyak RM2,000 dan digantung selama sebulan, manakala seorang lagi pemain, Mohammad Ridzuan Mohd Razali didenda sebanyak RM 4,000 serta menghadapi penggantungan selama dua bulan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Che Mokhtar Che Ali dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat kali ketujuh jawatan kuasa itu bagi penggal 2021-2025 yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Khamis.

"Terengganu FC II telah melanggar Artikel 54 Kod Tatatertib FAM kerana gagal menjaga tingkah laku dengan baik apabila pemain-pemainnya bergaduh dengan pemain-pemain pasukan lawan.

"Muhd Aqil Irfanuddin telah melanggar Melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM kerana didapati melakukan provokasi terhadap pemain pasukan lawan, manakala Mohammad Ridzuan Melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM kerana berkelakuan ganas apabila telah menendang dan menumbuk muka pemain pasukan lawan," katanya pada Jumaat.

Menurutnya, penggantungan terhadap Muhd Aqil Irfanuddin berkuatkuasa dari 24 Februari 2022 hingga 25 Mac 2022, manakala bagi Mohammad Ridzuan pula sehingga 24 April 2022.

Sementara itu, FAM turut menggantung khidmat dua tonggak Penang FC, Endrick Dos Santos dan Anselmo Arruda Da Silva serta mendenda kelab itu RM5,000.

Tambahnya, keputusan tersebut tidak boleh dirayu oleh mana-mana pihak dan FAM memberi amaran keras bahawa hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan sama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram