PUSAT Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan amaran banjir dijangka berlaku di jajahan Kuala Krai dan Tanah Merah, Kelantan bermula Jumaat.
Menurut kenyataan itu, beberapa lokasi di dua jajahan tersebut dikenal pasti dijangka berlakunya banjir secara berperingkat sekiranya hujan lebat berpanjangan di lembangan Sungai Kelantan.
"Lokasi dijangka banjir di Tanah Merah bermula 12 tengah hari Jumaat adalah Kampung Renab, Kampung Kajang, Kampung Padang Kijang dan kawasan sekitarnya.
"Di Kuala Krai pula dijangka berlaku banjir pada pukul 8 malam ini melibatkan Kampung Dabong, Kampung Kemubu, Kampung Mesek, Kampung Tualang, Kampung Karangan, Kampung Manek Urai, Kampung Bedal, Kampung Gatal, Bukit Sireh dan kawasan sekitarnya," menurut kenyataan itu.
Selain itu, menurut info banjir JPS, setakat 11 pagi melaporkan hanya satu sungai utama berada pada paras bahaya iaitu Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah.
Bacaan 25.17 meter (m) direkodkan di sungai tersebut manakala dua sungai di jajahan Kuala Krai iaitu Sungai Lebir di Kampung Tualang dan Kampung Sungai Nal berada pada paras amaran dengan masing-masing mencatatkan bacaan 34.63 m dan 24.18 m.
Dalam pada itu, MET Malaysia memaklumkan, amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu dan beberapa daerah di Pahang.
“Daerah terlibat di Pahang adalah Jerantut, Kuantan dan Pekan manakala amaran hujan berterusan tahap buruk dijangka berlaku di Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Temerloh, Maran dan Rompin.
“Amaran hujan berterusan tahap bahaya dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan atau ribut petir sedang atau dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 150 milimeter (mm) dalam tempoh 24 jam manakala amaran tahap buruk jika jumlah hujan melebihi 60 mm dalam tempoh 6 jam,” katanya.
MET Malaysia turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada dijangka berlaku di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang (Bentong dan Bera), Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Johor (Segamat dan Mersing).
Amaran hujan berterusan tahap waspada dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan atau ribut petir sedang atau dijangka berlaku melebihi 6 jam dalam sesuatu tempoh di sesuatu kawasan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram