FAM gantung khidmat dua tonggak Penang FC


  • Podium
  • Jumaat, 25 Feb 2022

INSIDEN pergaduhan yang berlaku antara pemain Penang FC dan Terengganu FC pada awal bulan ini. — Facebook

PENANG FC kehilangan dua tonggak bagi menghadapi musim baharu Liga Super 2022 apabila dikenakan hukuman oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Menurut kenyataan FAM, hukuman itu dikenakan susulan insiden pergaduhan yang tercetus dalam perlawanan Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru Piala YAB Menteri Besar Terengganu, Terengganu FC II lawan Penang FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada 9 Februari 2022.

Endrick Dos Santos Parafita dikenakan hukuman gantung selama dua minggu daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak termasuk aktiviti-aktiviti pentadbiran, pengurusan kesukanan bola sepak serta aktiviti yang bersampingan dengannya.

Hukuman tersebut berkuatkuasa 24 Februari 2022 hingga 9 Mac 2022, didenda RM1,000 serta diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.

Ini kerana Endrick didapati melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 74, perenggan 2 dan perenggan 3 Kod Tatatertib FAM kerana didapati berkelakuan ganas apabila telah menumbuk bahagian belakang pemain pasukan lawan (Muhd Aqil Irfanuddin Mohd Sabri) dalam perlawanan itu.

Seorang lagi pemain, Anselmo Arruda Da Silva dikenakan hukuman lebih keras apabila digantung selama sebulan daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak termasuk aktiviti-aktiviti pentadbiran, pengurusan kesukanan bola sepak serta aktiviti yang bersampingan dengannya.

Anselmo didapati melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 74, perenggan 2 dan perenggan 3 Kod Tatatertib FAM kerana didapati berkelakuan ganas apabila telah menendang dengan aksi ”flying kick” pemain pasukan lawan (Mohammad Ridzuan Mohd Razali) dalam perlawanan yang sama.

Dia akan menjalani hukuman itu berkuatkuasa 24 Februari 2022 hingga 25 Mac 2022, didenda RM3,000 serta diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama

Kedua-dua keputusan itu tidak boleh dirayu.

Sementara itu, dalam kenyataan yang sama, FAM berkata TFC II didenda sebanyak RM10,000 susulan insiden tersebut.

Pemainnya yang terlibat dalam insiden itu, Muhd Aqil Irfanuddin turut dikenakan denda sebanyak RM2,000 dan digantung selama sebulan, manakala seorang lagi pemain, Mohammad Ridzuan Mohd Razali didenda sebanyak RM 4,000 serta menghadapi penggantungan selama dua bulan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram