Mangsa banjir dakwa tiada pilihan bayaran bantuan secara digital


MANGSA banjir beratur panjang untuk menerima bantuan daripada kerajaan negeri Selangor. — Facebook

SEMALAM kecoh di media sosial berkenaan dengan video yang memaparkan mangsa banjir terpaksa beratur panjang untuk menerima bantuan daripada kerajaan negeri Selangor.

Ramai yang beranggapan bahawa perkara itu tidak sepatutnya berlaku apatah lagi dengan kes Covid-19 yang kian memuncak saban hari.

Namun, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam satu kenyataan berkata, bahawa pihaknya telah memberikan dua pilihan pembayaran.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu, Amirudin berkata, bantuan turut disalurkan menerusi pembayaran dalam talian namun rakyat lebih memilih untuk mengambil sendiri duit bantuan.

Namun tinjauan Majoriti di laman sosial mendapati, terdapat netizen yang mengatakan bahawa mereka tidak dimaklumkan langsung berkenaan pembayaran secara digital (cash transfer).

netzzzzz

TANGKAP layar yang menunjukkan komen berkenaan tiada pilihan bayaran secara cash transfer. — Facebook

Mohd Faizal Abdul Hamid berkata, dia ada menerima panggilan yang memintanya mengambil duit sumbangan tetapi tidak dimaklumkan mengenai pilihan ambil secara tunai atau secara digital.

"Mangsa yang mahukan bayaran secara tunai dan tak mahu secara digital adalah kenyataan penipu. Tiada pun mangsa yang diminta untuk membuat pilihan cara bayaran," kata Riz.

"Bila masa entah mereka ini ada bagi pilihan dan bila masa pula aku ditanya mengenai pembayaran secara digital atau tunai. Tiada pun," kata Zul Hysham Salim Sham.

Sementara itu, Zaidiabdulsamadzaidi Zaidi Zaidi juga mengakui dia tidak menerima sebarang pilihan untuk menerima bayaran.

"Dekat borang banjir yang diberikan tiada pun ruang kosong untuk cara pembayaran agihan bantuan banjir dibayar tunai, cek atau dikreditkan ke dalam akaun mangsa banjir," katanya.

Komen-komen lain turut mengatakan mereka terpaksa beratur panjang namun masih ada laluan khas yang disediakan untuk golongan orang kurang upaya (OKU), ibu mengandung dan warga emas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram