SEBUTIR bom lama sepanjang kira-kira 42 sentimeter ditemukan seorang pekerja yang sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan di Sungai Tupai, Taiping pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner, Osman Mamat berkata, buruh berusia 46 tahun itu, menemukan bom dipercayai jenis mortar itu ketika sedang menjalankan kerja pembersihan bersama tiga lagi pekerja di atas tanah, dalam kawasan sungai pada kira-kira pukul 8.30 pagi.
"Pihak polis dari Balai Polis Pokok Assam telah sampai di tempat kejadian dan mendapati sebutir bom yang tidak dapat dipastikan jenisnya berada di atas tanah di lokasi kejadian.
"Anggota telah membuat kawalan dan pemeriksaan turut dilakukan oleh Pasukan Unit Persenjataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya bom itu kemudian dimusnahkan oleh Cawangan Persenjataan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, dengan bantuan anggota Cawangan Persenjataan IPD Taiping.
Beliau berkata, tiada sebarang kecederaan dan kerosakan harta awam dilaporkan berlaku semasa tugas pemusnahan dijalankan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram