SEBUAH premis perjudian yang berselindung di sebalik jualan barangan runcit antara 23 premis yang dikenakan tindakan pemotongan elektrik, dalam operasi bersepadu dijalankan polis Melaka bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Melaka pada Khamis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, operasi pemotongan elektrik itu melibatkan 10 premis di Melaka Tengah, Alor Gajah (lapan) dan Jasin (lima) yang dikenal pasti menjalankan kegiatan judi dalam talian.
"Premis berkenaan cuba berselindung dengan menjual makanan ringan seperti roti, keropok dan air, selain perniagaan barangan telefon bimbit bagi mengaburi pihak berkuasa, di sebalik kegiatan menjual tambah nilai judi dalam talian serendah RM50 hingga mencecah ribuan ringgit.
"Mereka juga telah beberapa kali diserbu sebelum ini, namun tidak serik dan berdegil meneruskan kegiatan perjudian, disebabkan keuntungan yang berlipat ganda,” katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi bersepadu bersama TNB di Tanjung Minyak di Melaka pada Khamis.
Lim berkata, tindakan pemotongan bekalan elektrik itu yang dibuat mengikut Seksyen 21A(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Pindaan 2001), disertai 21 anggota dan pegawai polis serta 15 pegawai TNB Melaka Tengah.
Menurutnya, pemotongan bekalan elektrik itu dilakukan bagi mengelakkan sindiket perjudian terbabit aktif semula.
Beliau berkata, sejak Disember 2021 hingga Februari lepas, 53 individu berusia antara 16 dan 64 tahun ditahan dalam 23 serbuan di negeri itu, dan mereka disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram