Pesakit kronik Muslim tetap dilarang bekerja berkaitan arak


  • Mukmin
  • Sabtu, 12 Feb 2022

PESAKIT kronik Muslim boleh memohon bantuan zakat untuk menanggung kos rawatan perubatannya berbanding daripada bekerja di premis yang melibatkan arak. — FreePik

UMAT Islam dilarang bekerja di premis atau restoran yang berkait rapat dengan urusan jual beli serta hidangan minuman keras.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, larangan itu juga dikenakan ke atas seseorang Muslim yang menghidap penyakit kronik bagi menanggung kos rawatan perubatannya.

"Sebenarnya banyak pekerjaan lain dan dia tidak perlu terlibat dengan kerja-kerja berkaitan arak. Berdosa. Darurat hanya terjadi sekiranya boleh membawa maut," katanya kepada Majoriti.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama seseorang Muslim yang menghidap penyakit kronik seperti leukemia dibenarkan bekerja di premis melibatkan urusan jual beli dan hidangan arak menurut Islam.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, individu terbabit boleh memohon bantuan zakat daripada Majlis Agama Islam di negeri tempat tinggalnya bagi menanggung rawatan perubatannya.

Tambahnya, individu itu juga boleh menghubungi mufti di negeri tempat tinggalnya untuk menceritakan masalahnya.

"Saya rasa dia (mufti) boleh bantu. Beritahu terus-terang masalah yang dihadapi, yang mana jika individu itu tak dapat bantuan, maka dia terpaksa bekerja di tempat yang melibatkan arak untuk tanggung kos rawatan penyakit," katanya.

Arak diharamkan di dalam Islam melalui ayat al-Quran menerusi firman ALLAH SWT:

"Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya," Surah al-Maidah: 90

Ini dikukuhkan lagi apabila Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini kepada 10 golongan:

"Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya," Hadis Riwayat Imam al-Tirmidzi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram