Kaki judi buat laporan palsu hilang duit di Port Dickson


  • 112
  • Sabtu, 15 Jan 2022

KES tersebut disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan. — Gambar hiasan

POLIS menjalankan siasatan terhadap seorang pengurus syarikat pembinaan kerana disyaki membuat laporan palsu, kononnya kehilangan wang RM39,800 di dalam kenderaannya di Port Dickson, Negeri Sembilan yang sebenarnya digunakan untuk berjudi, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supritendan Aidi Sham Mohamed berkata, taktik lelaki berusia 32 tahun, yang didapati sengaja mereka cerita tentang kehilangan wang tersebut kerana ingin melewatkan pembayaran gaji pekerja itu terbongkar, setelah disoal siasat polis kira-kira 11.15 malam Jumaat.

"Dalam kejadian pukul 9.33 malam, lelaki itu membuat laporan dengan mendakwa wang yang disimpan dalam beg sandang dan diletakkan di dalam kenderaan, hilang pada hari yang sama.

"Menurut lelaki itu, pada pukul 2.30 petang, dia mengeluarkan wang berjumlah RM45,000 dari sebuah bank di Cyberjaya bagi membayar gaji pekerja, dan meletakkan wang itu dalam beg sandang di bawah kerusi tempat duduk pemandu,” jelasnya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah Aidi Sham, lelaki itu kemudiannya ke rumah bapa saudaranya di Lukut dan menyerahkan RM4,700 kepada bapa saudaranya itu, sebelum mendapati duit berserta beg sandang telah hilang namun tiada kesan pecah cermin pada kenderaan sejurus selesai makan di kedai di Taman Sentosa, Lukut.

Bagaimanapun, beliau berkata, setelah disoal siasat lanjut polis mendapati lelaki berkenaan sengaja mereka cerita tentang kehilangan wang berjumlah RM39,800 itu.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan orang awam diminta supaya tidak membuat apa-apa laporan polis palsu, bagi mengelakkan diambil tindakan undang-undang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram