UNDANG-UNDANG di Malaysia sudah cacamarba, itu reaksi seorang pengguna laman sosial Facebook, Megat Terawis yang tidak setuju terhadap tindakan pihak berkuasa yang didakwa melindungi pusat judi.
Megat dalam satu ciapan di Facebook berkongsi bahawa tidak wajar pihak berkuasa mengenakan tindakan terhadap pihak yang berjuang membentras sindiket perjudian di Malaysia.
"Orang yang mahu hapuskan judi ditangkap, undang-undang apakah ini?
"Adakah penguatkuasa tidak malu melindungi pusat judi? Masyarakat bukan buta dan bodoh," tulisnya.
Luahan yang dibuat Megat itu adalah berdasarkan perkongsian Aemierulrizaki Rambli yang juga merupakan pengasas kepada Gerakan Banteras Aktiviti Haram (GBAH).
Aemierulrizaki yang juga merupakan Ketua Penerangan Pemuda Umno Kuala Selangor berkongsi tentang perjuangannya menentang sendiket perjudian di Malaysia sejak 10 tahun lalu bersama GBAH.
Antara yang dikongsi beliau, sepanjang perjuangannya bersama rakan-rakan yang menubuhkan GBAH, mereka sentiasa menjadi 'mangsa pihak berkuasa.'
"Bila kita serbu kedai judi, kita akan dikenakan tindakan, didakwa menceroboh dan samun. Peliknya kita yang menjalankan kerja pihak berkuasa dijadikan sasaran manakala tauke-tauke judi terus bebas.
"Apa yang berlaku kepada saya hari ini adalah perkara biasa. Cuma kita mahu ingatkan pihak berkuasa, kami tidak akan diam. Jangan ingat gari di tangan ini akan menakutkan kami," tulisnya yang turut memberitahu GBAH turut ditubuhkan bersama rakan, Ariffin Abu Bakar, Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah (Perkid), Yusuf Azmi dan teman-teman dari Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Selain Megat, ramai warganet turut menyokong perjuangan Aemierulrizaki dan meninggalkan kata-kata semangat agar beliau bersama GBAH terus berjuang dan tidak putus asa dalam menentang jenayah judi di Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram