SEORANG pengetua sekolah terpaksa menghabiskan kira-kira setahun meringkuk di penjara di California, Amerika Syarikat selepas dia didapati bersalah oleh mahkamah kerana mencuri lebih AS$835,000 (RM3,494,308) daripada sekolah St. James Catholic Church untuk membiayai tabiatnya yang suka berjudi dan mengikuti percutian mewah.
Mary Margaret Kreuper, 80, yang juga bekas biarawati di sekolah itu sebelum ini berjanji akan menjalani kehidupan serba sederhana apabila dia mengangkat sumpah sebagai biarawati kira-kira enam dekad lalu.
Bagaimanapun Kreuper bertindak sebaliknya selepas dia memindahkan wang berjumlah lebih AS$835,000 daripada dana sekolah rendah Roman Katolik berhampiran Los Angeles itu bagi tujuan peribadi.
Mahkamah diberitahu bahawa wang itu digunakan Kreuper untuk membiayai percutian di Las Vegas di mana wanita tersebut memenuhi ketagihannya untuk berjudi.
Dia juga menggunakan wang tersebut untuk mengadakan kunjungan ke resort mewah seperti Tasik Tahoe, di mana pelancong kaya berkumpul untuk belayar pada musim panas dan meluncur pada musim sejuk.
“Saya telah berdosa dan melanggar peraturan. Tiada alasan terhadap kesilapan yang telah saya lakukan,” beritahu Kreuper kepada mahkamah, menurut Washington Post.
Kreuper berkata, jenayah yang dilakukannya telah 'mencabul' janjinya terhadap undang-undang selain mengkhianati kepercayaan yang telah diberikan oleh orang ramai terhadap dirinya.
Dia turut mengaku melakukan penipuan dan penggubahan wang semasa perbicaraan pada tahun lalu.
Mahkamah diberitahu bagaimana wang tersebut dihantar ke sekolah untuk membayar tuisyen dan sumbangan amal sebaliknya disalurkan kepada akaun rahsia yang dikawal oleh Kreuper.
Apabila juruaudit mengugut akan mendedahkan komplot tersebut, Kreuper memberitahu pekerja supaya memusnahkan dokumen, menurut mahkamah.
Peguam Kreuper, Mark Byrne meminta mahkamah supaya anak guamannya dibenarkan menjalani hukuman di biara di mana dia ditahan sejak jenayahnya terbongkar pada 2018. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram