Polis jawab dakwaan aktiviti judi, pelacuran berleluasa di Manjung, Batu Gajah, Ipoh dan Teluk Intan


  • 112
  • Rabu, 16 Feb 2022

AKAUN @ED_EdisiKhas dedah kegiatan perjudian dan pelacuran di empat daerah di Perak. — Twitter

PEMILIK akaun Twitter @ES_EdisiKhas mendakwa Manjung, Batu Gajah, Ipoh dan Teluk Intan, Perak penuh dengan kedai-kedai judi dalam talian dan pusat hiburan.

Catatan di media sosial pada Isnin itu turut mendakwa kegiatan pelacuran semakin berleluasa di daerah-daerah itu.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mior Faridalathrash Wahid menyangkal dakwaan itu dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Perak pada Rabu.

“Saya boleh memberi jaminan bahawa tiada sebarang aktiviti pelacuran berlaku di Perak.

"Mungkin ada aktiviti perjudian di beberapa kawasan tetapi kami telah mengambil tindakan serius.

“Saya sudah mengarahkan Ketua Polis Daerah untuk mengambil tindakan segera dan tegas jika aktiviti ini berlaku di kawasan mereka,” katanya.

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa pihak polis tidak mengambil tindakan kerana menerima rasuah daripada sindiket jenayah.

"Sesiapa yang ada maklumat berkenaan kegiatan haram boleh tampil ke hadapan dan berikan maklumat supaya kita boleh mengambil tindakan.

"Jika ia benar, kita akan siasat.

"Jangan hanya bercakap di media sosial secara tidak bertanggungjawab," tambahnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram