Lori brek rosak rempuh empat kereta di Shah Alam


  • 112
  • Khamis, 24 Feb 2022

TANGKAP layar video tular kejadian sebuah lori melanggar empat buah kereta yang berhenti di persimpangan lampu isyarat pada Rabu.

SEBUAH lori, dipercayai mengalami masalah brek tidak berfungsi, telah melanggar empat buah kereta yang berhenti di persimpangan lampu isyarat di Jenjarom, tengah hari Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superitendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, insiden yang turut tular di Facebook itu, bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kecederaan.

Katanya, lori tersebut yang datang dari arah Banting ke Klang mengalami masalah brek, lalu mengelak ke kanan dan terlanggar empat buah kereta yang sedang berhenti di lampu isyarat persimpangan Jenjarom.

"Lori itu berjaya dihentikan selepas persimpangan lampu isyarat menghala ke Kampung Jenjarom.

"Kelima-lima pemandu kenderaan yang terlibat telah membuat laporan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Orang awam yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Sarjan Nur Hayati Mohd Zubel di talian 013-6444350 atau 03-31872222. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram